KUALA LUMPUR 5 Mac – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz enggan mengulas soalan wartawan berkenaan tindakan MCA dan MIC mempertikai jawatan beliau.

Mohamed Nazri yang keluar daripada bilik Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen hanya mengeluarkan kenyataan tidak tahu apabila diajukan soalan berkenaan.
“Saya tidak tahu, saya baru habis mesyuarat,” katanya sebelum bergegas meninggalkan para petugas media di Bangunan Parlimen, hari ini.
MCA dan MIC dalam kenyataan bersama hari ini membuat ketetapan bahawa pelantikan Mohamed Nazri sebagai Setiausaha Agung BN adalah tidak mengikut Perlembagaan parti tersebut.
Oleh demikian, kedua-dua parti itu telah menyampaikan pendirian jelas kepada urusetia BN bahawa Mohamed Nazri tidak layak untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada Jumaat ini. – UTUSAN ONLINE











