Nasi Ayam Pak Mal yang sebelum ini mempunyai perniagaan di Seksyen 10 dan 11 di Shah Alam, Selangor kini melebarkan lagi sayapnya apabila mula bertapak di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur sejak November tahun lalu.
Bagaimanapun, restoran itu tidak membawa menu popularnya iaitu nasi ayam ke dalam gerai yang terletak di dalam Cold Storage itu sebaliknya mereka menyediakan seleksi menu dari Pantai Timur dan Thailand.
Antaranya nasi dagang, kerabu, mi celup, laksa Thai dan laksam.
Pengusahanya, Asmani Salleh berkata, dia bersyukur apabila diberi peluang untuk memperkenalkan seleksi menu yang terdapat di restoran Pak Mal Nasi Ayam ke KLCC.
Akuinya, walaupun perasaan sedikit gementar apabila terpaksa bersaing dengan gerai-gerai lain yang turut menyediakan pelbagai hidangan di dalam Cold Storage, dia percaya kualiti dan rasa yang enak pasti dapat menambat hati para pelanggan untuk kembali ke gerainya.
“Kita memulakan operasi pada pukul 7.30 pagi setiap hari dan di sini, semua jualan dibungkus dalam pek dengan harga antara RM7.90 hingga RM10.50.
“Ia tidak sama seperti menjamu selera di restoran kerana sasaran kami adalah untuk mereka yang bekerja di premis ini selain mereka yang menggunakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT),” katanya ketika ditemui K2 di KLCC baru-baru ini.
Pelanggan bertambah
Katanya, pada peringkat permulaan, pelanggan terkejut apabila melihat jualan makanan di dalam Cold Storage kerana biasanya ia menjual barang-barang runcit tetapi apabila ia mula disebut dari mulut ke mulut, bilangan pelanggan juga semakin bertambah terutama pada waktu rehat makan tengah hari.
Sementara itu, seorang pelanggan, Nasiha Zaid, 30, mengakui mula mengunjungi gerai itu sejak mula mencuba nasi kerabu pada awal tahun ini.
“Sebelum mula masuk kerja, saya akan ke sini untuk membungkus makanan. Selain rasa yang enak dan harga yang berpatutan, saya sebenarnya suka menu yang pelbagai di gerai ini.
“Saya dan rakan biasanya akan bergilir untuk membeli di sini dan menu yang menjadi kegemaran saya ialah mi celup dan laksa Thai kerana ia disediakan mengikut permintaan dan dibuat di hadapan pelanggan,” ujarnya.











