KUALA LUMPUR 25 Mac – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 9 Mei ini sebagai tarikh keputusan permohonan hadanah (hak penjagaan) dua kanak-kanak, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 11, dan Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, 8, yang kematian ahli keluarganya dalam nahas di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), empat tahun lalu.
Perkara berkenaan dimaklumkan peguam syarie, Mahyuddin Md. Zahari yang mewakili ibu saudara kanak-kanak itu, Yusnidah Hussain,51, selaku plaintif selepas sebutan kes itu dalam kamar di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Hadi Ahmad.
Ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding tersebut, Mahyuddin berkata penangguhan keputusan itu adalah disebabkan pertukaran Hakim Syarie yang akan mendengar dan membuat keputusan kes tersebut.
“Tarikh baru itu ditetapkan bagi membolehkan Hakim Syarie yang baharu membuat penelitian semula semua dokumen berkaitan kes secara teliti.
“Selain pertukaran Hakim, keputusan berkenaan tidak dapat dilakukan memandangkan terdapat semakan kehakiman di Mahkamah Rayuan Syariah yang difailkan nenek dua kanak-kanak itu dan mahkamah kemudian telah menolak rayuan tersebut pada 15 Februari lalu, ” katanya.
Mahyuddin menjelaskan, mahkamah turut menetapkan 9 Mei depan untuk keputusan kes dan pada tarikh sama untuk dua kanak-kanak itu akan memberi ketarangan. – UTUSAN ONLINE











