KANGAR 23 Mac – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan mereka yang terlibat membakar kereta rasminya di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini, semalam sebagai perbuatan pengganas.
Sehubungan itu, beliau berharap, dua pelaku tersebut yang perbuatan mereka telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu segera ditangkap oleh pihak berkuasa.
Dalam masa sama, Mohd. Asri turut mengucapkan terima kasih kepada polis dan pihak bomba yang bertungkus lumus menangani kes berkenaan.
“Setelah saya melihat CCTV, maka saya menyimpulkan ini merupakan perbuatan pengganas atau teroris yang boleh mengancam nyawa. Marilah kita berdoa agar dua individu disebutkan oleh Ketua Polis Perlis yang dirakam oleh CCTV itu segera ditangkap.
“Sekalipun jika selepas ini saya akan menaiki kereta (Perodua) Kancil kerana kereta (rasmi) dibakar, tapi Insya-Allah, semoga Allah bantu, semangat saya tetap Singa,” katanya dalam hantaran terkini Facebooknya di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi semalam, kereta rasmi Mohd. Asri musnah disyaki dibakar pihak tertentu semasa diletakkan di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini.
Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, siasatan mendapati ia disyaki berpunca daripada perbuatan khianat ekoran kesan cermin belakang kenderaan yang dipecahkan selain penemuan botol berisi petrol untuk membakar.
Berikutan itu, kata Noor Mushar, pihaknya sedang memburu dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan selepas perbuatan mereka dikesan melalui CCTV milik jiran Mohd. Asri.- UTUSAN ONLINE











