SUBANG JAYA 5 Mac – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyediakan garis panduan pelesenan sukan elektronik atau e-sport di pusat siber dan siber kafe serta permainan digital secara dalam talian di kawasan seliaannya.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, garis panduan itu merupakan langkah awal pihaknya untuk melesenkan aktiviti e-sport.
Katanya sehingga kini, tiada garis panduan pelesenan disediakan yang menyebabkan pengusaha e-sport tidak dapat menjalankan perniagaan dan akhirnya dijalankan tanpa lesen perniagaan dan kawalan.
“MPSJ juga telah menyediakan garis panduan khas termasuk mensyaratkan penganjur untuk memohon permit sementara hiburan bagi penganjuran pertandingan e-sport.
“MPSJ prihatin dan memahami kehendak trend perniagaan terkini dan dengan wujudnya garis panduan ini diharap dapat merancakkan lagi perkembangan e-sport sebagai salah satu budaya sukan sihat untuk komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program lawatan tapak Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han ke pusat sukan elektronik di Pantheon @ The Square, One City di sini hari ini.
Menurut Azfarizal, sehingga Mac 2019, MPSJ melesenkan dua pusat e-sport di kawasan seliaannya iaitu The Pantheon dan Future Games Sdn. Bhd.
“Garis panduan pelesenan ini juga diharap dapat membantu memudahkan aktiviti melesenkan e-sport di samping menambahkan hasil pelesenan MPSJ,” katanya. – UTUSAN ONLINE











