KUALA LUMPUR 11 Mac – Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) komited untuk memperhebatkan penarafan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan memperkenalkan mata palajaran baharu iaitu Tahfiz al-Quran bermula September ini.
Pengerusi MPM, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, tujuan mata pelajaran itu ditawarkan adalah untuk menyediakan laluan pengajian kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menduduki Kurikulum Tahfiz Bersepadu Tahfiz bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat STPM.
“Mulai kohort STPM 2020 depan, peperiksaan pertamanya akan diadakan pada semester satu pada bulan November tahun ini dan mata pelajaran ini juga telah diluluskan Kementerian Pendidikan.
“Usaha ini merupakan satu penambah baikan serta membuka peluang kepada pelajar aliran tahfiz untuk melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau mengumumkan keputusan STPM 2018 dan Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, Ujian Bahasa Inggeris Malaysia (MUET) dan Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2018 di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











