BASEL 23 Mac – Jose Mourinho mengintai untuk berada semula dalam pengurusan pasukan gergasi dan memburu gelaran ketiga Liga Juara-Juara, dedah bekas pengendali Real Madrid dan Manchester United itu hari ini dalam satu temubual eksklusif bersama AFP.
Mourinho menganggur selepas dipecat United pada Disember lalu dan berkata dia ingin dilantik sebagai bos di sebuah kelab di mana dia boleh menambah kejayaan Eropah daripada Porto pada 2003 dan Inter Milan tujuh tahun kemudian, serta mahu menyamai rekod Zinedine Zidane, Carlo Ancelotti dan Bob Paisley.
“Jika saya boleh menang Liga Juara-Juara buat kali ketiga, ia sesuatu yang hebat.
“Saya ingin beraksi di tahap terbaik, iaitu di Liga Juara-Juara. Saya ingin berada dalam pemburuan gelaran Liga Juara-Juara tahun depan.
“Ada kalanya, anda tidak berada dalam saingan itu, namun anda perlu menang dalam kejohanan lain,” kata Mourinho.
Tambahnya, dia sedia membuka pintu kepada mana-mana kelab dari negara yang pernah dia kendalikan seperti Portugal, England, Itali dan Sepanyol.
“Saya boleh pulang ke negara yang pernah saya tinggal dan sejujurnya, saya menikmati tugas saya di setiap negara yang pernah saya duduki.
“Ataupun, saya boleh cuba sesuatu yang lebih mustahak, di mana saya sedia berada di negara baharu dan cuba memenangi sebarang kejohanan untuk negara kelima seperti yang pernah saya lakukan pada masa dahulu,” ujarnya.- AFP











