HADIR dalam industri komedi dengan misi, empat pelawak solo tempatan itu menongkah arus memperjuangkan bahasa Melayu sebagai elemen pengantara dalam persembahan komedi berdiri atau stand up comedy.
Menyedari penguasaan bahasa Inggeris bersifat dominan dalam arena komedi solo tempatan, hakikat sebegitu tidak menjadi halangan buat empat pelawak solo Melayu itu memperjuangkan identiti mereka.
Yakin mempunyai kumpulan pengikut tersendiri, mereka nekad tidak berpaling selagi bahasa Melayu enggan diterima ramai dalam persembahan pentas lawak solo.
Demikian perjuangan empat pelawak yang terdiri daripada Nizam Jentik Jentik, JD, Farid Azmier dan Rayza Mukmin.
Biarpun mereka pelawak, namun pertemuan yang mengambil tempat di Studio Utusan tempoh hari berlangsung dalam suasana serius. Setiap seorang daripada mereka melontarkan pendapat dengan hujah tersendiri.
Tatkala penonton komedi tempatan puas disaji humor bersifat hiburan semata-mata, empat personaliti solo itu jelas dengan arah tuju dalam industri.
Komedi solo bahasa Melayu
Rancak memulakan bicara, Nizam Jentik Jentik atau nama sebenarnya Nizam Yusoff terlebih dahulu memperbetulkan tanggapan awam mengenai komitmen pelawak solo.
“Ramai orang anggap pelawak solo tampil di pentas dengan membuat persembahan secara spontan. Walhal hakikatnya, kami melakukan persiapan rapi.
“Cuma gaya persembahan disampaikan secara spontan kerana sebuah pementasan lawak solo memerlukan interaksi dengan penonton. Segala lontaran idea di atas pentas telah dirancang dan melalui latihan berterusan,” jelasnya.
Kembali berdikusi mengenai misi mengetengahkan bahasa Melayu sebagai pengantara komedi solo, Nizam berkata, dia bersama rakan pelawak berbesar hati dengan ruang diberikan laman penstriman iflix.
Terbabit dalam program Oi! Jaga Mulut musim kedua, program tersebut menjadi medan untuk dirinya dan rakan pelawak lain bereksperimentasi dengan penerimaan penonton terhadap input komedi solo berbahasa Melayu.
“Oi! Jaga Mulut musim kedua merupakan program komedi yang julung-julung kali memberi ruang kepada pelawak solo untuk bebas menyentuh pelbagai isu.
“Secara peribadi, program ini lebih menarik kerana belum ada di Malaysia sebuah program lawak solo yang mengangkat bahasa Melayu sebagai pengantara dalam kalangan penonton yang majoritinya bukan Melayu,” dedah Nizam mementaskan komedi bertajuk Aku Selebriti dalam slot Oi Jaga Mulut 2 pada 28 Mac ini.
Penerimaan peminat
Hakikatnya mengenai industri komedi tempatan, peminat cenderung menyokong kewujudan pelawak berkumpulan berbanding gerakan solo.
Jika disenaraikan pelawak solo yang mampu meraih populariti sudah tentu kelibat Nabil Ahmad dan Jihan Muse antara yang kerap mengisi slot hiburan televisyen dan corong radio.
Sekiranya ada penanda aras kejayaan seseorang pelawak solo tempatan, nama Harith Iskander satu-satunya selebriti tunggal yang diiktiraf di peringkat dunia.
Malah tidak berlebihan jika dikatakan Harith merupakan pelawak solo profesional yang sinonim dalam kalangan khalayak pelbagai kaum di negara ini.
Bekas peserta Maharaja Lawak Mega 2016, Rayza Mukmin atau nama sebenarnya Mohd. Rizal Fahmi Mukhter mempunyai pendapatnya tersendiri mengenai penerimaan pelawak solo dalam negara.
Menafikan pelawak solo tidak mempunyai pasaran, Rayza meletakkan Harith sebagai penanda aras hujahnya.
“Saya tidak bersetuju sekiranya terdapat pihak berpendapat pelawak solo tidak mempunyai pasaran dan permintaan dalam industri. Jika tidak mempunyai permintaan, bagaimana Harith boleh bertahan sehingga kini.
“Pasaran dan permintaan itu wujud. Namun misi yang kami perjuangkan di sini ialah menggerakkan usaha penyampaian lawak solo dengan penggunaan bahasa Melayu. Industri masih ketandusan pelawak solo yang memperjuangkan bahasa Melayu di pentas komedi,” jelasnya.
Berbicara lebih lanjut, Rayza berpendapat, pendekatan bahasa Melayu lebih mudah bagi seorang pelawak untuk menyampaikan input ketika beraksi.
“Berdasarkan pengalaman mengadakan persembahan di kelab komedi, penonton lebih tertarik untuk mendengar setiap pengisian lawak sekiranya disampaikan dalam bahasa Melayu.
“Mereka sendiri tidak sangka bahawa bahasa Melayu boleh menjadi pengantara di pentas lawak solo,” tuturnya.
Tabu bahasa Melayu
Menyokong pendapat berkenaan, finalis Raja Lawak musim keempat dengan nama pentas JD berkata, ramai dalam kalangan penonton masih menganggap penggunaan bahasa Melayu di pentas lawak solo adalah sesuatu yang tabu.
Bagaimanapun jelasnya, di sebalik kewujudan segelintir pihak yang sukar menerima bahasa Melayu dalam industri lawak solo, situasi tersebut masih mampu mengundang jenaka.
“Mengapa tidak kita gunakan sahaja bahasa Melayu sedangkan ini adalah bahasa rakyat Malaysia. Semua penonton memahami bahasa ini,” tegas pemilik nama sebenar Ahmad Zaidi Masri itu.
Dia yang juga seorang jurutera berkata, sudah tiba masanya pelawak di negara ini melakukan pembaharuan dalam industri lawak solo tempatan.
“Penggunaan bahasa Inggeris dalam lawak solo adalah perkara biasa. Kita perlu berani berubah,” katanya bersemangat.
Sempat berkongsi mengenai penglibatannya dalam Oi! Jaga Mulut, JD akan berbicara mengenai pelbagai isu sensitif yang tidak akan dibicarakan secara terbuka.
Memilih tema Meh-lah-yu, JD akan bersiaran pada 14 Mac ini membincangkan isu berkaitan seksualiti dan trasgender.
“Isu yang saya ketengahkan kelak jarang dibincangkan secara terbuka terutama dalam kalangan komuniti Melayu. Saya cuba menyampaikan isu sensitif ini secara komedi dan kritikan di atas pentas,” katanya.
Kebebasan berkarya
Antara tiga pelawak berkenaan, Farid Azmeir merupakan pelawak paling muda yang turut menjayakan musim kedua Oi! Jaga Mulut.
Aktif sebagai pelawak solo sejak dua tahun lalu, Farid mengangkat kisah bapanya sebagai bahan perkongsian di pentas menerusi tema 50/50.
Tidak pernah terlibat dengan sebarang program realiti berkaitan komedi dalam televisyen, dia selesa untuk mencipta nama menerusi platform seperti iflix.
“Di pentas Oi! Jaga Mulut, kami diberi kebebasan berkongsi apa sahaja perkara berkaitan dengan kehidupan sama ada dari sudut pandangan peribadi atau sekadar berkongsi pendapat.
“Saya mengangkat bapa sebagai tema. Dia seorang yang sentiasa gembira walaupun Allah kurniakan sepasang mata yang tidak mampu untuk melihat.
“Di pentas itu nanti akan saya kongsikan bagaimana bapa menjalani kehidupan dengan penuh rasa bersyukur,” katanya.
Tidak ketinggalan berkongsi pendapatnya mengenai penerimaan bahasa Melayu di pentas lawak solo, Farid menegaskan, prioriti sesebuah persembahan adalah membuatkan penonton faham dengan isu yang dipersembahkan.
“Asalkan penonton gembira dan faham, saya tidak mempunyai masalah menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantara di pentas,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Oi! Jaga Mulut musim kedua boleh ditonton menerusi iflixfree dan iflixvip pada setiap hari Khamis bermula pada 7 Mac. Dimulai dengan kemunculan Rayza Mukmin, JD pula akan bersiaran pada 14 Mac, Farid (21 Mac) dan Nizam Jentik-Jentik (28 Mac).
Setiap peserta akan membuat penampilan selama 40 minit membincangkan tema masing-masing.











