ADRENALIN seramai 10 selebriti Asia dicabar dalam siri realiti televisyen terbaharu terbitan Viu Original bertajuk No Sleep No FOMO.
Memerah keringat di lapan lokasi berbeza sekitar benua Asia dan Eropah, setiap selebriti perlu melunaskan 60 cabaran dalam tempoh 60 jam.
Melanggar norma fizikal manusia, 10 selebriti itu bukan sahaja perlu melaksanakan misi, malah tidak dibenarkan tidur sepanjang tempoh melaksanakan tugasan.
Membariskan artis dan personaliti popular dari rantau Asia, rancangan tersebut dikendalikan pengacara popular dari Singapura iaitu Paul Foster.
Kosmo! wakil tunggal dari Malaysia telah diterbangkan khas ke Singapura untuk mewawancara tiga selebriti pilihan dalam rancangan itu.
Tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan sendiri pengalaman daripada Foster, Kosmo! turut memilih untuk mewawancara secara eksklusif dua ikon industri K-Pop iaitu Raja Program Realiti, Kim Jong-kook dan penyanyi solo serba boleh kacukan Amerika-Korea, Eric Nam.
Dalam tempoh yang singkat kira-kira 10 minit bersama setiap selebriti berkenaan, mereka berkongsi mengenai kesukaran sepanjang menjalani penggambaran No Sleep No FOMO.
Membuka panggung wawancara, Foster terlebih dahulu menggambarkan perjalanan penggambaran sebanyak lapan episod telah membuka mata tentang keupayaan tubuh manusia.
Kesukaran
Terikat antara penggambaran No Sleep No FOMO dan tanggungjawab sebagai pengacara serta personaliti di negeri kelahirannya iaitu Kota Singa, dia yang berusia 38 tahun seakan-akan tidak percaya apabila berjaya menamatkan kesemua lapan episod rakaman tanpa halangan.
“Sepanjang penglibatan saya dalam industri, ini adalah kali pertama saya umpama menyerahkan nyawa demi memastikan setiap rakaman episod boleh dilaksanakan. Satu tugas yang amat sukar,” luahnya.
Mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif di gimnasium, Foster bagaimanapun mendedahkan aktiviti sebegitu tidak membantu dirinya sepanjang melaksanakan misi.
Sebaliknya, program tersebut jauh melangkaui keupayaan fizikalnya.
Tuturnya, tanpa kekuatan minda, setiap peserta yang sekali gus bertindak sebagai regu pengacaraanya dalam setiap episod pasti gagal melunaskan misi masing-masing.
“Sewaktu hari pertama rakaman penggambaran No Sleep No FOMO, saya akui agak sukar untuk menyesuaikan diri.
“Bayangkan dalam keadaan tubuh tidak mendapat rehat secukupnya, kami masih mengerah dan memaksa tenaga,” ujarnya.
Namun menurut Foster, selepas melalui beberapa episod, tubuhnya telah mula membiasakan diri dengan situasi 60 jam tanpa tidur.
Perubahan
Melaksanakan misi dua negara di sisi Foster, Nam menyambung cerita mengenai perubahan yang dialami selepas tamat penggambaran No Sleep No FOMO.
Terlibat dengan penggambaran di Malaysia dan Singapura, Nam tidak menyangka program realiti bertemakan travelog pelancongan tersebut memberi kesan terhadap kehidupannya.
Sementelah kali pertama menjayakan program realiti yang menuntut ketahanan fizikal yang tinggi, Nam berharap program tersebut bukan sahaja dilihat daripada aspek hiburan semata-mata.
“Selepas menjayakan No Sleep No FOMO, pandangan saya mengenai kehidupan amat berbeza.
“Saya kagum dengan keupayaan tubuh badan kita untuk terus berjuang walaupun dalam keadaan yang amat lemah,” jelasnya.
Sebaik menyelesaikan penggambaran, Nam kini lebih menghargai kehidupan dan yakin setiap manusia mampu melunaskan impian asalkan mempunyai keinginan tinggi.
Berkongsi antara cabaran yang tidak boleh dilupakan, dia berseloroh mengenai cubaan mereka untuk berjumpa dengan hantu.
Ketika badan memerlukan tempoh tidur mencukupi, Nam berkata, dia dan Foster bergelut untuk tidak tidur sehingga kesemua misi dilaksanakan.
“Kami terpaksa mencipta pelbagai kisah menarik untuk memastikan terus berjaga dalam tempoh 60 jam. Di situlah bermulanya percubaan Foster untuk bertemu dengan hantu.
“Dakwa Foster, hantu tersebut berasal dari Britain dan bernama Joe sedangkan saya tidak percayakan sebarang kisah mistik namun akhirnya, saya turut berada dalam ketakutan,” tuturnya disambut gelak tawa daripada Foster.
Selain cubaan bertemu hantu, Nam juga terpaksa melakukan persembahan komedi berdiri sebagai sebahagian daripada cabaran No Sleep No FOMO.
Terkejut apabila diberikan cabaran tanpa sebarang persediaan, dia tidak menyangka bahawa mampu membuatkan setiap hadirin ketawa.
“Saya seorang penyanyi dan bukan pelawak. Saya lega apabila setiap individu dalam ruang tersebut menikmati kisah lucu saya,” katanya yang mahu peminatnya menyaksikan sendiri persembahan menerusi laman penstriman Viu.
Pengalaman
Memegang gelaran sebagai Raja Realiti Televisyen dalam industri hiburan K-Pop, Jong-kook yang mengusung segunung pengalaman menerusi Running Man tetap berdepan kesukaran.
Terlibat dalam penggambaran selama 10 jam di Hong Kong, dia turut bergandingan dengan rakan selebriti dari industri yang sama iaitu Kevin Woo.
“Program ini lebih memenatkan berbanding Running Man,” kata Jong-Kook penghibur berusia 43 tahun itu.
Katanya: “Saya telah bersama Running Man dalam tempoh yang lama, tetapi 10 jam bersama No Sleep No FOMO sudah cukup menggambarkan ‘keseksaan’ yang dihadapi setiap peserta.
Tambahnya, Running Man masih memberikan ruang kepada setiap selebriti untuk berehat dan tidur manakala No Sleep No FOMO pula yang amat mencabar kerana tiada istilah rehat dalam kamus hidup peserta.
Berceloteh mengenai pengalaman melaksanakan misi di sisi Woo, dia tidak sangka rakan seperjuangannya itu bukan seorang yang lemah sebaliknya sangat tabah dan kuat.
Biarpun berada dalam industri yang sama, Jong-kook akui, No Sleep No FOMO juga kali pertama menemukan mereka
“Kami tidak pernah diberikan peluang mengenali antara satu sama lain. Dalam penggambaran pada kali ini saya melihat sisi lain Woo sebagai lelaki sejati,” jelasnya.
Selain Malaysia, Singapura dan Hong Kong, No Sleep No FOMO turut membuat penggambaran di Korea Selatan, Indonesia, Switzerland, Thailand dan Filipina.
Antara artis yang turut terlibat ialah selebriti dari Thailand, Taya Rogers, Nat Ho (Singapura), Laureen Uy (Filipina), Hana Tam (Hong Kong), Benjamin Kheng (Singapura) dan Alexander Lee Eusebio (Korea Selatan).
No Sleep No FOMO boleh ditonton menerusi laman penstriman Viu pada setiap hari Jumaat bermula 22 Mac lalu.










