KUALA LUMPUR 18 Mac – Pasaran bon Malaysia berupaya mengekang aliran keluar asing selama tiga bulan berturut-turut pada Februari lepas berikutan peningkatan semula minat asing, sebahagian besarnya disebabkan oleh pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang memihak kepada kadar faedah lebih rendah.
Menurut kenyataan agensi penarafan, RAM Rating Services Bhd (RAM) hari ini, pegangan asing melonjak RM4.5 bilion bagi bulan tersebut susulan kenyataan dasar monetari Rizab Persekutuan AS pada 30 Januari 2018.
Pihak Rizab Persekutuan AS tidak membuat sebarang perubahan membabitkan kadar faedah itu pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed pada Januari lepas.
Malah, menerusi satu kenyataan, Rizab Persekutuan AS menyatakan pendirian untuk lebih ‘bertahan’ terhadap sebarang kenaikan kadar faedah seterusnya yang jelas bertentangan daripada kenyataan awal untuk ‘meneruskan kenaikan secara berperingkat.’
“Tekanan aliran keluar portfolio itu dapat dikurangkan berikutan pendirian Rizab Persekutuan AS dan baru-baru ini kebimbangan mengenai pertumbuhan turut disuarakan oleh pihak Bank Pusat Eropah dan seterusnya penangguhan membabitkan kenaikan kadar faedah itu,” kata Ketua Penyelidik RAM, Kristina Fong.
Namun, beliau berkata, masih wujud faktor pendorong lain khususnya rundingan pertikaian perdagangan AS-China dan dinamik Brexit yang masih belum diselesaikan.
Menurut RAM, sejajar permintaan lebih ketara akibat kehadiran semula minat asing dan disokong keadaan domestik yang berdaya tahan, hasil kepada bon matang kerajaan dan korporat menyusut bulan ke bulan.
Kadar hasil petunjuk utama sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun yang susut dalam separuh pertama Februari lepas, adalah di bawah paras psikologikal empat peratus pada 13 Februari, iaitu pertama kali sejak 11 April 2018.
“Bagi kemajuan masa depan, hasil itu dijangka berdepan tekanan penurunan ketika pasaran mempertimbang prospek pengurangan kadar dasar semalaman oleh Bank Negara Malaysia berikutan pendirian bank pusat itu yang lebih berhati-hati dalam kenyataan dasar monetari terbaharu (dikeluarkan pada 5 Mac),” katanya.
Terbitan bon kerajaan juga positif pada Februari 2019 yang berjumlah RM8 bilion, berikutan peningkatan minat terhadap bon kerajaan sepertimana ditunjukkan oleh nisbah bidaan kepada terbitan (BTC), demikian menurut RAM.
MGS 10 tahun dan Terbitan Pelaburan Kerajaan 15 tahun pada Februari mencatat BTC yang amat kukuh iaitu masing-masing 2.54 dan 3.91 kali. – BERNAMA











