MFL jamin beri geran - Utusan Malaysia

MFL jamin beri geran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 16 Mac – Penamatan kontrak Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai penaja utama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pasti memberi kesan kepada 24 pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Begitupun, MFL meredakan kebimbangan mereka dengan memberi jaminan akan tetap menyerahkan geran tahunan kepada pasukan terlibat, cuma jumlahnya bergantung kepada penajaan baharu yang bakal diterima.

Selepas mengumumkan penamatan kontrak TM semalam, MFL mengadakan rundingan dengan beberapa prospek penaja baharu dan keputusan akhir dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu hingga sebulan dari sekarang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sudah tentu kita kena mencari dana secukupnya buat semua pasukan tetapi semua perkara itu akan kami jawab dalam tempoh beberapa minggu selepas kita me­ngadakan perbincangan rasmi dengan prospek penaja.

“Buat masa ini kita belum boleh bagi maklumat terpe­rinci,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Rama­lingam.

Kevin mengakui ketiadaan TM akan memberi kesan kepada liga tempatan tetapi dalam masa sama beliau positif penaja baharu bakal tampil mengisi kekosongan yang ditinggalkan syarikat telekomunikasi itu.

“Memang ada kesan bila kita kehilangan penaja tapi kita masih ada rakan penaja yang memberikan komitmen seperti Iflix dan Ampersand.

“Kami masih kukuh dan akan mengatasi masalah ini. Kami melihat banyak pihak berminat (menjadi penaja), cuma sebelum ini kami tidak boleh membuat rundingan kerana ada kontrak (bersama TM),” jelasnya.

Sekiranya TM masih berminat kembali menaja Liga M, MFL tidak pernah menutup pintu buat mereka.

“Kita sentiasa menyokong TM dan menjadi rakan baik dengan sabar menunggu keputusan-keputusan mereka.

“Malangnya, kita sudah sampai satu tahap untuk fikir masa depan liga dan juga pe­ngurusan liga bagi musim 2019.

“Keputusan sudah dibuat tetapi jika TM masih mahu berbincang, demi tanggungjawab bola sepak, kita kena dengar dan pintu tak tertutup buat mana-mana pihak,” jelasnya.

Semalam, MFL mengumumkan penamatan kontrak penajaan TM bernilai RM480 juta bagi tempoh lapan tahun bermula Januari tahun lalu setelah perbincangan untuk meneruskan perjanjian kerjasama penajaan menemui jalan buntu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini