Mesyuarat BN bincang rasa tidak puas hati pemimpin MCA, MIC - Utusan Malaysia

Mesyuarat BN bincang rasa tidak puas hati pemimpin MCA, MIC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Satu mesyuarat Jawatan Kuasa Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi memperbincangkan rasa tidak puas hati pemimpin tertinggi MIC dan MCA.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengumumkan perkara itu berkata, BN akan memaklumkan butiran perbincangan tersebut dalam sedikit masa lagi.

“Saya menyeru semua pihak bersama-sama duduk berbincang bagi memeta jalan hadapan yang lebih baik kepada BN dan negara,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

MCA dan MIC dalam satu kenyataan bersama mencadangkan supaya BN dibubarkan supaya kedua-dua parti itu boleh meneroka peluang pakatan politik baharu.

Kedua-dua parti itu mendakwa berasa kecewa kerana asas kesefahaman dalam BN tidak lagi dihormati.

Ia ekoran Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz didakwa berulang kali mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman. 

Terdahulu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan, beliau tidak akan mengenepikan rasa tidak puas hati pemimpin MCA dan MIC terbabit.

Katanya, beliau percaya wujud keperluan untuk BN memberi perhatian yang sewajarnya terhadap perkara itu dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian terbaik. 

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak bahawa hubungan dan kerjasama parti komponen BN telah lama terbentuk, maka tidak wajar ada pihak mengambil sikap pukul rata dalam isu tersebut.

“Khususnya dengan terus mengambil kenyataan seorang dua pemimpin dari mana-mana parti komponen yang tidak pun mewakili pendirian BN sebagai perkara pokok dalam menilai semula status serta masa depan BN,” ujarnya.

Katanya lagi, beliau percaya BN sentiasa memberikan perhatian dan komitmen dalam menghormati dan mengiktiraf peranan serta perjuangan setiap parti komponennya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN