IPOH 10 Mac – UMNO Perak menyifatkan mesej yang ditular dalam laman sosial mengenai gabungan parti itu dengan Pas sudah mempunyai 31 kerusi untuk mengambil alih pentadbiran negeri Perak sebagai spekulasi lama.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ekoran itu UMNO membuat pendirian tidak mahu melayan mesej tersebut.
“Mesej berkenaan hanya spekulasi lama yang mungkin juga datang daripada Pakatan Harapan (PH) sendiri.
“Namun ia (perubahan kerajaan negeri) tidak mustahil berlaku disebabkan pertelagahan sesama sendiri pemimpin dalam PH,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas mesej yang tular dalam media sosial bahawa gabungan UMNO dan Pas Perak sudah memiliki sokongan daripada 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah menandatangani akuan bersumpah.
Dalam mesej tersebut dikatakan akuan bersumpah tersebut kini sudah berada pada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kerajaan PH Perak akan tumbang pada bila-bila masa.
Turut tular dalam media sosial hari ini ialah mesej kononnya ADUN UMNO dan Pas memohon menghadap Sultan Perak dipercayai bagi memohon perkenan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
Untuk rekod, UMNO mempunyai 25 kerusi dalam DUN Perak, Pas tiga manakala PH 31 kerusi setelah dua bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyokong Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Menteri Besar. – UTUSAN ONLINE










