KEMEWAHAN dan kedudukan yang dimiliki wanita sofistikated ini telah menggoda banyak lelaki untuk mendekatinya dengan lebih rapat.
Hinggakan pernah beberapa kali dia menerima lamaran untuk berkahwin namun tidak pernah dilayannya.
Pemilik syarikat produksi Darkwave Pictures Sdn. Bhd., Datuk Rafiena Ezanee Ramli ini bukan jenis mudah termakan pujuk rayu. Begitu juga dengan kata-kata manis bertujuan untuk memikat hatinya, dia tidak mudah tertawan.
Wanita ini juga semakin arif dengan godaan lelaki yang berniat serong pada saat awal perkenalan. Seakan-akan boleh menghidu perkara tersebut, awal-awal lagi wanita ini akan angkat kaki.
“Orang memandang wanita solo macam saya ini seperti mudah ‘dimakan’ sebab hidup tanpa kawalan lelaki bernama suami. Orang nampak kita bebas untuk bergaul dengan ramai lelaki tapi ia tidak seperti yang dibayangkan itu.
“Sekalipun saya keluar dengan lelaki, itu hanya atas urusan kerja semata-mata. Sekarang ini, saya memang tak ada masa nak keluar bertemu janji,” katanya mengulas dakwaan yang dirinya sudah bertemu pengganti.
Pun begitu, ibu kepada Catheriena Batrisya, 10, dan Christina Zaraa, 7, mengakui kerap menerima lamaran cinta lelaki dalam media sosial. Saban hari, ada sahaja kiriman mesej secara peribadi daripada pengguna alam maya yang mengajaknya untuk bercinta.
Bagaimanapun bekas pramugari syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ini langsung tidak pernah melayan ajakan tersebut. Dia yakin orang benar-benar ikhlas sahaja boleh menghulurkan cinta tanpa ada niat tersirat.
Rafiena juga percaya lelaki budiman tidak akan menggunakan platform itu untuk tujuan berkenaan sebaliknya lebih senang pendekatan empat mata. Itu yang membezakan keikhlasan si dia sebelum hubungan itu berlangsung lebih serius.
“Sudah-sudahlah bercinta macam zaman dulu. Kita sudah dewasa dan tahu matlamat hidup masing-masing. Sebagai wanita berpengalaman, saya boleh menilai keikhlasan menerusi gerak geri dan budi bicara seseorang.
“Platform media sosial bukan cara paling tepat ‘memancing’ wanita. Jauh sekali untuk mengajak bertemu di mana-mana tempat. Saya tak percaya medium tersebut,” ujarnya.
Kegagalan mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali sebelum ini membuatkan Rafiena lebih berhati-hati sebelum memulakan hubungan cinta. Kini Rafiena menjalani kehidupan solo hampir empat tahun selepas perkahwinan keduanya berakhir pada 2015.

BUAT HARTA
Menguatkan khabar angin yang dia sudah bersedia untuk menamatkan zaman solonya, Rafiena dikatakan sudah membeli sebuah banglo mewah di Shah Alam, Selangor.
Kediaman bernilai jutaan ringgit itu sedang dalam proses pengubahsuaian dan bakal didiami beberapa bulan lagi. Rafiena bakal berpindah ke lokasi berkenaan bersama bakal suami dan anak-anaknya untuk memulakan hidup baharu.
Pun begitu, Rafiena menafikan dakwaan tersebut kerana menurutnya aset berkenaan sudah lama dimiliki sebelum desas-desus itu timbul baru-baru ini. Oleh itu, tidak timbul persiapan Rafiena untuk bergelar isteri kembali.
“Saya memang seorang yang bekerja keras sejak zaman muda lagi. Kalau nak apa-apa, saya akan berusaha untuk dapatkan apa yang diinginkan. Apatah lagi masa tengah solo ini, usaha yang ada itu dilipat gandakan.
“Kalau ada apa jua aset yang berkenan, saya masukkan dalam senarai permintaan dan jadikan ia sebagai sasaran hidup yang perlu dicapai,” katanya yang tidak pernah jemu untuk mengumpul aset mewah.
Selain memiliki syarikat produksi, Rafiena juga ialah Ketua Pegawai Eksekutif untuk dua syarikat (Darkwave Global dan Darkwave Trading) selain House of DRE (rangkaian produk spa, wangian, penjagaan diri dan kecantikan).
Kesemua syarikat tersebut diuruskan sendiri dengan bantuan ibu bapa, Ramli Othman, Ramlah Shariff, Rafez Izwan (abang) dan beberapa orang pekerjanya.

LUPAKAN CERITA LAMA
Sebagai ahli perniagaan, Rafiena juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa penipuan angkara individu yang dilihat sengaja mempergunakannya. Hingga mencetuskan kerugian sejumlah wang yang agak besar, namun wanita ini sentiasa positif.
Antaranya adalah penutupan anak syarikat pembinaan, Darwave Construction dan kes saman terhadap pengacara Didie Alias pada tahun lepas.
Pelakon drama Perempuan Dalam Pasungan ini mengakui dia tidak pernah menyesali apa yang terjadi. Sebaliknya dia sentiasa berfikiran bahawa pasti ada hikmah terjadi setiap kali ujian yang menimpanya itu.
“Cara untuk membersihkan hati adalah tidak lagi mengingati kisah lama yang menyakitkan hati.
Kita tidak boleh memandang ke belakang atas apa jua yang telah berlaku kerana cara itu akan melambatkan proses move on.
“Sebaliknya kita fokus kepada perancangan hidup yang dibuat. Sibukkan diri dengan aktiviti harian yang lebih bermanfaat daripada fikir yang bukan-bukan,” katanya.
Kunjungannya ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah umrah pada hujung tahun lalu secara tidak langsung mempercepatkan proses berkenaan. Di sana dia berdoa agar urusan harian membabitkan kerjaya dan peribadinya dipermudahkan.
Terkini, drama terbitan Darkwave Pictures berjudul KL Meroyan ditayangkan di TV2 sejak 5 Mei lalu. Selain itu, dua dramanya bakal ditayangkan di Astro iaitu Asam Pedas Cendol Sejoli (6 April) dan Syurgaku Tak Sempurna 2 (Mei ini)

INI CIRI LELAKU IDAMAN SAYA!
Sudahlah cantik, kaya dan berharta, takkanlah tak pernah kena pikat dengan mana-mana golongan kenamaan. Kalau itulah namanya cinta setaraf dengan kedudukan, pasti pernah terjadi sebegitu bukan?
Susah nak cakap dalam bab hati ini. Kalau saya suka dengan seseorang, memang akan suka selamanya. Saya tidak memandang pangkat atau kemewahan yang dimiliki lelaki itu. Yang penting adalah hatinya sendiri pada saat menerima kekurangan dan kelebihan saya.
Ada tak senarai ciri-ciri lelaki idaman?
Sudah semestinya lelaki itu mesti matang, penyayang dan kaki bisnes macam saya. Dia perlu melebihi dalam segala aspek kehidupan berbanding apa yang dimiliki saya. Itu cara yang boleh buat saya lebih menghormatinya bukan sekadar suami tetapi kawan baik dalam segala hal.
Sekiranya lebih rendah daripada itu, saya bimbang kalau ada perkara yang tidak elok terjadi dalam rumah tangga kami nanti.
Ada sasaran tempoh untuk menamatkan zaman solo ini?
Tak ada. Pada waktu ini, saya tidak meletakkan sebarang tempoh. Kalau ada, kita ‘jalan’. Apapun dalam hal mencari pengganti ini, saya bersyukur kerana orang tua saya tidak pernah memberi tekanan. Mereka memberi ruang kepada saya untuk memilih calon suami yang terbaik. Itu yang buat saya lebih selesa dan tidak terburu-buru dalam mencari pengganti.











