KUALA LUMPUR 19 Mac – Memorandum berhubung Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan diserahkan kepada pucuk pimpinan kerajaan dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, memorandum tersebut adalah hasil daripada perbincangan di Persidangan Agung Tergempar Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) yang bermula semalam hingga hari ini.
“Saya bersama pucuk pimpinan memberi ruang kepada mereka (PPKP dan PPRP) untuk membahaskan dan menyuarakan perkara yang penting bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai isu IPCMC.
“Ada beberapa perkara yang dibincangkan seperti langkah-langkah proaktif yang boleh diambil pihak berkuasa dan luahan hati mereka berhubung isu-isu tertentu berkaitan IPCMC,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Agung Tergempar Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP), di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut Mohamad Fuzi, memorandum tersebut telah pun diserahkan kepadanya dan pucuk pimpinan yang lain untuk diteliti.
Tambahnya, memorandum itu akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan kerajaan dalam tempoh masa terdekat termasuk membawa wakil-wakil persatuan jika perlu. – UTUSAN ONLINE











