Memartabatkan seni tradisional - Utusan Malaysia

Memartabatkan seni tradisional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZAMAN ini, ramai anak muda dilihat kurang meminati mahupun mengenali seni tradisional tidak kira muzik mahupun tarian.

Namun, ia berlainan dengan Norfaezah Ya’acob yang menggemari alunan irama Malaysia dan mengagumi keindahan gerak tari tradisional.

Malangnya, minat gadis berusia 28 tahun itu hampir dilupakan apabila sukar mencari kelas tarian tradisional di ibu kota ekoran permintaan masyarakat kini lebih kepada tarian moden.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atas kesukaran itu, Norfaezah berjinak-jinak dengan tarian kecergasan Zumba yang membolehkan dia menari pelbagai gerak tari selain sebagai satu aktiviti senaman yang menyihatkan.

“Sebenarnya, sukar untuk cari kelas tarian tradisional tetapi melalui Zumba, saya bertemu seorang guru yang akhirnya bersetuju untuk membuka kelas tarian tradisional khusus untuk Zapin, Joget dan Inang.

“Menariknya, sambil belajar menari, kami didedahkan juga dengan sejarah tentang gerak tari tersebut seperti asal-usul tarian termasuk gerakannya,” kata Norfaezah yang kini mengikuti kelas tarian tradisional di Kyrana Dance Group.

Gadis kelahiran Sarawak dan membesar di Sabah itu mula minat menari sejak di bangku sekolah. Namun, minatnya kepada tarian tradisional semakin mendalam semasa menuntut di Universiti Malaysia Sarawak dalam jurusan Sains Kognitif.

Ketika di universiti, Norfaezah belajar tarian tradisional Sarawak dan pernah membuat persembahan kesenian sepanjang pengajiannya di institusi tersebut.

Baginya, seni tarian dan muzik tradisional adalah antara keunikan utama dalam budaya masyarakat yang perlu diwarisi oleh generasi masa ini. Malah, kesenian muzik dan tarian perlu dilihat sebagai tali yang dapat mengukuhkan perpaduan dan menyatukan rumpun bangsa.

Ditanya kenapa memilih tarian, Norfaezah berkata, menari adalah antara cara untuk mengeluarkan peluh dan menyihatkan tubuh badan memandangkan dia tidak gemar aktiviti sukan.

“Saya suka sesuatu yang berkaitan dengan muzik dan apabila menari, ia bukan hanya satu gerakan tubuh. Tetapi, merupakan satu gerak tari berirama yang mempunyai unsur keindahan kerana menggabungkan pergerakan badan, irama dan penghayatan,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Norfaezah turut membantu guru tarinya mengetengahkan tarian tradisional kepada umum dalam usaha menggalakkan generasi muda untuk meminati tarian tradisi masyarakat Malaysia.

Bercerita tentang kerjaya, eksekutif penyelidikan dan pembangunan di Pembangunan Sumber Manusia Berhad itu sedang merancang untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tahun ini selepas berjaya menamatkan pengajian Sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Impiannya kini untuk menimba ilmu dalam jurusan pembangunan sumber manusia dan kemudiannya menceburi bidang pendidikan.

“Menyambung pengajian adalah satu kepuasan diri untuk mencapai tahap yang tinggi, lebih-lebih lagi persaingan kini semakin sengit terutama daripada graduan berkelulusan ijazah.

“Jadi, kita tidak boleh terus berada pada takuk lama, sebaliknya perlu berusaha untuk menjadi individu yang berbeza daripada orang lain dan antaranya dengan memastikan kebolehan serta kemahiran diri lebih daripada orang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini