TUAH depan mata boleh ditolak. Walhal hospital menanti selain banyak lagi kemudahan dijanjikan Pakatan Harapan (PH) sewaktu Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Dengan kekuatan kerajaan negeri serta Pusat, apa dijanjikan PH pastinya membuatkan pengundi Semenyih senang. Sebaliknya, yang jadi pilihan mereka pembangkang, Barisan Nasional (BN)-Pas.
Namun jangan pula celopar memperlekeh pengundi Melayu di Semenyih terikat dengan politik perkauman seperti segelintir komen dalam media sosial. Sebaliknya fahami dengan mendalam kenapa BN jadi pilihan kali ini.
Justeru, ada yang melihat kekalahan PH di Semenyih satu peluang terhidang untuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan perubahan. Apa perubahan? Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu pastinya sangat arif hal ini.
Dahulu atau sekarang, Cameron Highlands atau Semenyih, orang Melayu tetap sama. Bila perlu, mereka sedia tunjukkan resah. Ini yang harus diberi perhatian rakan kongsi Dr. Mahathir dalam PH iaitu PKR, DAP mahu pun Parti Amanah Negara (Amanah).
Jangan dinafikan orang Melayu sangat sensitif kepada soal agama dan kedudukan bangsa. Peredaran masa tidak pernah mengubah sikap mereka dan oleh itu, pendekatan kerajaan harus peka dan selari dengan sentimen orang Melayu.
Mereka boleh menerima Malaysia baharu, mana yang baik sama-sama diraikan cuma bagi orang Melayu, ada perkara yang tetap tidak boleh diubah. Fahami sensitiviti ini.
Justeru, pemimpin komponen PH harus tahu memposisikan diri. Jika yang patut di belakang makin ke depan, mungkin makin berkurang sokongan orang Melayu kepada PH berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Dalam hal ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pantas menyahut dengan kenyataannya yang kerajaan Pusat tidak akan apologetik dalam melaksanakan agenda Melayu susulan kekalahan di Semenyih.
Namun ini perlu diikuti yang lain dan jika PH masih membiarkan latar cerita yang sama sehingga menenggelamkan peranan Bersatu-Amanah, maka UMNO-Pas akan meneruskan kemaraan. Bersediakah rakan kongsi Dr. Mahathir dalam PH membuat dan menerima perubahan? -UTUSAN ONLINE










