MBPJ lancar Geran Komuniti RM3 juta - Utusan Malaysia

MBPJ lancar Geran Komuniti RM3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Mac – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM3 juta bagi pelaksanaan Geran Komuniti yang dilancar untuk manfaat masyarakat khususnya komuniti di kawasan Petaling Jaya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, tujuan geran itu diwujudkan adalah untuk merancang dan melaksanakan projek bagi membantu MBPJ meningkatkan prestasi dalam beberapa bidang yang berkaitan.

“Peruntukan yang disediakan itu adalah untuk diberikan kepada organisasi atau komuniti bagi menjalankan projek atau inisiatif kemasyarakatan mengikut pilihan dan cadangan mereka.

“Hanya permohonan yang dikemukakan kepada urusetia geran iaitu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBPJ sahaja akan dinilaikan,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Azizi berkata, bantuan geran minimum yang diperuntukkan adalah sebanyak RM5,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap projek malah pihaknya juga berhak meluluskan amaun geran yang diberikan berdasarkan penilaian teknikal dan juga keperluan semasa.

“Keputusan kelulusan projek dan jumlah yang diberikan adalah muktamad. Bagaimanapun, peruntukkan lebih tinggi boleh dipertimbangkan sekiranya sesuatu projek menunjukkan merit dan impak yang positif,” katanya.

Jelasnya, ciri-ciri penilaian akan diberikan keutamaan kepada projek yang berpotensi menghasilkan impak positif kepada kawasan kejiranan seperti mengurangkan risiko pencemaran ke atas alam sekitar dan perbandaran serta menjimatkan kos perbelanjaan majlis dalam pengurusan dan pembangunan bandar.

“Selain itu, kriteria lain termasuk mengurangkan penjanaan sisa pepejal dan impak pencemaran karbon dioksida atau kedua-duanya serta memperolehi impak positif dalam jangka masa panjang ke atas pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya.

Tambahnya, MBPJ turut menggariskan panduan untuk memudahkan cara proses permohonan geran seperti projek berbentuk komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA), perkhidmatan, kajian dan penyelidikan, jaringan (networking), infrastruktur serta kemudahan dalam proposi yang kecil.

Ujarnya, MBPJ berharap kerjasama penuh daripada masyarakat Petaling Jaya agar dapat mencapai objektif yang disasarkan khususnya di peringkat komuniti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN