KUALA LUMPUR 14 Mac – Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) menerbitkan lapan waran opsyen beli penyelesaian tunai baharu ala Eropah melalui saham biasa membabitkan lapan buah syarikat dengan saiz terbitan masing-masing sebanyak 100 juta.
Maybank IB dalam kenyataannya berkata, syarikat yang terlibat adalah Guan Chong Berhad; Pos Malaysia Berhad; QL Resources Berhad; SKP Resources Berhad; SP Setia Berhad; Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad; Taliworks Corporation Berhad dan Uchi Technologies Berhad.
Menurutnya, waran opsyen beli itu memiliki kod nama seperti GCB-CC, POS-C34, QL-CO, SKPRES-CQ, SPSETIA-C16, TAKAFUL-CD, TALIWRK-CE dan UCHITEC-CF.
“Tempoh bagi lapan waran opsyen beli yang disenaraikan di atas adalah kira-kira sembilan bulan,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, syarat dan terma waran opsyen beli dinyatakan dalam kertas terma masing-masing.
“Para pelabur boleh membaca kertas terma bersama-sama dengan prospektus asas bertarikh 31 Oktober dan prospektus asas tambahan pertama bertarikh 17 Disember 2018,” katanya.
Dalam pada itu, Maybank IB berkata, pendapatan korporat bagi syarikat berkenaan di bawah Indeks Komposit FBM Kuala Lumpur (KLCI) dijangka berkembang sebanyak 3.8 peratus tahun ini dengan risiko lebih kecil berikutan rosot nilai agak besar dicatatkan sesetengah firma pada suku keempat tahun lepas.
Jelasnya, pemacu utama bagi pemulihan itu adalah daripada sektor perbankan dengan pendapatan teras dianggarkan berkembang 6.1 peratus bagi asas tahun ke tahun.
“Maybank IB Research kini meletakkan sasaran akhir tahun di KLCI pada paras 1,760 mata berdasarkan 16.3 kali pendapatan hadapan 12 bulan.
“Ia melaksanakan strategi melindungi ekuiti teras dan pada masa sama keadaan turun naik sekali sekala mungkin memberikan peluang kepada pelabur untuk berurus niaga berdasarkan aliran baharu dan tematik,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











