PARIT BUNTAR 2 Mac – Seorang remaja lelaki maut setelah dihempap sebatang pokok kelapa yang tumbang di Kampung Parit Abas, di sini hari ini.
Mangsa, Mohamad Ridzuan Abdul Rani, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat dihempap pokok berkenaan ketika sedang menunggang motosikal di jalan tersebut.
Pemangku Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau, Mohd. Azhar Azmuni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 1.04 petang.
Berita berkaitan:
Menurutnya, seramai lapan anggota, sebuah jentera dan sebuah van telah ke tempat kejadian.
“Apabila tiba di tempat kejadian, didapati sebatang pokok kelapa telah tumbang dan menimpa seorang penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut.
“Anggota bertindak menguruskan mangsa dan menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Kerja-kerja pemotongan pokok dilakukan sehingga selesai dan operasi ditamatkan pada pukul 4.32 petang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. – UTUSAN ONLINE











