MUNICH 20 Mac – Selepas mengejutkan banyak pihak dengan mengetepikan Leroy Sane dalam skuad Piala Dunia 2018, jurulatih Jerman, Joachim Loew yakin bintang muda Manchester City bersedia untuk menyinar.
Sane, 23, akhirnya dibawa masuk dalam skuad kebangsaan pada Liga Negara-Negara Eropah, Disember lalu, dan sejak itu, pemain tersebut semakin menunjukkan kematangan.
Jerman akan menentang Serbia pada aksi persahabatan esok sebagai pemanas badan sebelum berdepan Belanda dalam kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2020, Isnin depan.
“Dia (Sane) menunjukkan banyak peningkatan sama ada bersama Jerman mahu pun Manchester City.
“Dia mempamer permainan hebat tetapi apa yang lebih mustahak buat saya adalah melihat dia mengorak langkah besar ke depan.
“Leroy kini amat mahir dengan tugasnya di atas padang. Dia memiliki skil hebat dan menunjukkan kematangan dalam tempoh enam bulan lalu,” kata Leow.
Kata Loew, pertemuan menentang Serbia adalah persiapan terbaik sebelum menghadapi Belanda, dan ‘wajah baharu’ Jerman akan diuji sepenuhnya dalam perlawanan itu.
“Saya mahu melihat bagaimana prestasi beberapa muka baharu yang dibawa masuk. Sebab itu aksi di Wolfsburg amat penting,” ujarnya. – AGENSI











