Masalah kesihatan tidak halang laksana tanggungjawab mengundi - Utusan Malaysia

Masalah kesihatan tidak halang laksana tanggungjawab mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH 2 Mac – Walaupun menghadapi masalah kesihatan, A. Rahim Md Top, 59, tetap melaksanakan tanggungjawabnya dalam memilih wakil rakyat baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

A.Rahim yang menghadapi masalah lelah dan kekurangan oksigen dalam darah hadir mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra dengan berkerusi roda dan membawa tabung gas oksigen bersamanya.

Katanya beliau terpaksa keluar mengundi seawal 8 pagi kerana keadaan kesihatannya yang tidak membolehkan beliau terdedah dengan cuaca panas.

“Dari awal pagi lagi saya datang bersama anak perempuan dan jiran. Tetapi anak mengundi di saluran lain. Jiran yang menemani saya dan membawa tabung oksigen ini semasa mengundi,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di SMK Bandar Seri Putra, dekat sini.

PRK DUN Semenyih yang berlangsung hari ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali, calon Barisan Nasional Zakaria Hanafi, calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Sementara itu, warga emas, Anuar Shaharom, 65, teruja mengundi buat kali ke-10 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kantan Indah di Kajang dekat sini.

Beliau yang menggunakan kerusi roda turut menyifatkan perjalanan pada hari mengundi semakin bertambah baik dari tahun ke tahun.

“Sejak pertama kali saya mengundi kira-kira 45 tahun dahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melakukan kerja dengan baik dan ia semakin bagus dari tahun ke tahun,” katanya.

Seorang lagi warga emas, Jamarudin Darus 63 berkata beliau begitu bersemangat keluar mengundi kerana ia merupakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Saya harap semua yang boleh mengundi, keluar mengundi hari ini, jangan malas, mengundi ini tanggungjawab kita, kita kena buat,” kata pesara kerajaan itu.

Sementara itu tinjauan Bernama di sekitar pusat mengundi di SK Kantan Indan itu mendapati terdapat kira-kira 10 kerusi roda disediakan oleh SPR untuk kegunaan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Para pengundi di sekitar kawasan berkenaan juga mengambil peluang untuk keluar mengundi awal berikutan cuaca yang baik walaupun sedikit terik.

Para peniaga turut mengambil kesempatan berniaga makanan ringan dan air di tepi-tepi jalan menuju ke pusat mengundi itu.– BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN