KOTA BHARU 4 Mac – Hanya masa dan keadaan yang menentukan masa depan kerjasama antara Pas dan UMNO.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku walaupun pada masa ini mereka menunjukkan persefahaman dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK).
“Saya selalu sebut masa depan tiada orang yang tahu. Kita buat apa yang ada untuk hari ini sahaja.
“Kemungkinan apa pun boleh berlaku, tiada orang boleh menentukan masa hadapan” katanya selepas Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan 2018 Kali Kedua sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V Ke 49 di Istana Balai Besar di sini hari ini.
Mohd Amar diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Pas dan UMNO hanya boleh bekerjasama dalam PRK sahaja dan bukan Pilihan Raya Umum (PRU).
Ini susulan kemenangan BN dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Sabtu lalu yang menyaksikan calon BN Zakaria Hanafi menang dengan memperoleh 19,780 undi.
Dalam pada itu, Mohd Amar mengulangi pendirian Pas bahawa parti itu tidak pernah berjanji memberi sokongan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) semasa PRK Semenyih.
“Presiden dan Setiausaha Agung sudah jelaskan, kita berjanji beri sokongan kepada Perdana Menteri sekiranya ada undi tidak percaya di Parlimen, bukan berjanji sokong parti Bersatu atau PH, mumgkin Perdana Menteri salah faham,” katanya.
Sementara itu, Mohd Amar berkata, Pas atas asas persepakatan pembangkang akan meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRK DUN Rantau nanti.
“Kerusi itu memang kerusi BN, kita tidak akan kacau,” katanya. – UTUSAN ONLINE










