KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines (MAS) diiktiraf sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik Asia pada anugerah pelancongan antarabangsa Majlis Antarabangsa Persatuan Penulis Pelancongan Kawasan Pasifik (PATWA) sempena International Tourismus-Boerse (ITB) 2019 di Berlin, Jerman baru-baru ini.
Anugerah tersebut yang kini memasuki tahun ke-18 mengiktiraf individu dan organisasi yang cemerlang dalam mempromosikan pelancongan merentasi penerbangan, hotel, agensi, pengusaha pelancongan, destinasi, badan kerajaan dan kementerian.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Izham Ismail berkata, pihaknya amat berbangga menerima anugerah berkenaan.
“Saya mendedikasikan kejayaan ini kepada pekerja MAS yang memberi fokus untuk menyampaikan pengalaman perjalanan bertaraf dunia buat penumpang kami setiap hari.
“Anugerah ini mengiktiraf sebilangan perkembangan positif yang kami perkenalkan sejak dua tahun lalu, termasuk pesawat baharu, produk dan inovasi digital.
Ini bukti komitmen kami untuk menawarkan pengalaman hebat buat penumpang sewaktu terbang dan di daratan,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam.
Dalam pada itu, MAS turut menawarkan diskaun 25 peratus untuk tambang penerbangan ke destinasi terpilih termasuk Hong Kong dan Sydney sehingga tengah malam ini untuk perjalanan dari sekarang hingga 31 Mei depan.
Maklumat lanjut boleh didapati di www.malaysiaairlines.com.











