SUKA atau tidak, skuad Malaysian Tigers di bawah bimbingan jurulatih, Roelant Oltmans wajib mara ke pentas final kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2019 yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah pada 23 hingga 30 Mac ini.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal (gambar kecil) berkata, pihaknya telah banyak memberi ruang serta memenuhi permintaan Oltmans bagi memantapkan prestasi skuad hoki kebangsaan sebelum kejohanan itu berlangsung.
Bagaimanapun, Subahan enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi seperti merangkul trofi kejuaraan buat kali pertama walaupun kejohanan itu tidak menerima penyertaan pasukan gergasi dunia seperti Australia, Britain, Belgium serta New Zealand.
“Walaupun kita berada di kedudukan ketiga pasukan terbaik pada kejohanan berkenaan, tetapi kita tidak meletak harapan terlalu tinggi untuk menjadi juara walaupun gelaran tersebut sentiasa diidam-idamkan oleh semua pasukan.
“Tetapi kami mahu Oltmans mengemudi skuad negara sekurang-kurangnya mara ke pentas final. Suka atau tidak, kita perlu letakkan sasaran ke pentas akhir,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MHC di Seri Kembangan, Selangor semalam.
Enam negara termasuk Malaysia sudah mengesahkan penyertaan masing-masing iaitu India, Kanada, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Jepun.
Kejohanan PSAS mula diperkenalkan pada tahun 1983, namun Malaysia sebagai tuan rumah masih belum pernah menjulang trofi kejuaraan ekoran penyertaan beberapa pasukan elit dunia.
Dalam pada itu, Subahan turut mendedahkan bahawa potensi negara untuk menganjurkan Piala Dunia Hoki Lelaki 2022 semakin cerah selepas FIH mengakui Malaysia merupakan negara sesuai untuk menjadi tuan rumah kejohanan tersebut.
“Kita sudah menghantar dokumen berkaitan pada 28 Februari lalu dan telah disenarai pendek. Kita memang serius mahu menjadi penganjur.
“Bagi saya, kita ada harapan memandangkan FIH juga mengakui Malaysia merupakan negara yang sesuai menjadi tuan rumah kerana memiliki kemudahan, pengangkutan, hotel serta penajaan yang baik,” katanya.










