Malaysia tuan rumah Piala Dunia Touch 2019 - Utusan Malaysia

Malaysia tuan rumah Piala Dunia Touch 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Mac – Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mungkin memiliki sedikit pengetahuan mengenai Persekutuan Touch Antarabangsa (FIT), namun beliau tetap memberi sokongan 100 peratus terhadap penganjuran Piala Dunia Touch 2019.


Mahathir turut memuji usaha FIT Malaysia yang bekerja keras untuk membawa kejohanan berprestij itu ke sini, sekali gus meletakkan negara ini di peta dunia dalam sukan yang menyerupai ragbi itu.

Malaysia telah diberi hak untuk menjadi tuan rumah edisi kesembilan Piala Dunia itu buat julung kalinya dan dijadualkan berlangsung pada 29 April hingga 4 Mei ini di Taman Ekuestrian Putrajaya (TEP).

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia merupakan penghormatan tertinggi buat Malaysia walaupun sukan ini masih baru di negara ini, tetapi sudah begitu terkenal seantero dunia.

Sejumlah 2,400 pemain yang mewakili 26 negara bakal beradu tenaga pada edisi kali ini dalam misi mereka untuk memburu gelaran juara dunia.

Sebagai permulaan, Presiden FIT, Erick Acker yang berada di ibu negara sejak Jumaat lalu telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Mahathir di pejabat beliau bagi memberi penerangan mengenai persiapan Malaysia mementaskan acara berprestij itu.

Pada pertemuan singkat itu, Erick turut ditemani Pengerusi Jawatankuasa Bersama Piala Dunia 2019, Bryan O’Connor dan Ketua Sekretariatnya, Ahmad Sufiani Johari.

Sepanjang pertemuan itu, Mahathir telah diberi penerangan mengenai persiapan yang telah dilakukan oleh Malaysia melibatkan persediaan gelanggang, komunikasi, hospitaliti, pergerakan trafik dan juga mengenai pasukan yang akan bertanding.

Lebih menarik, Mahathir yang tidak begitu mengetahui tentang sukan tersebut, telah mengemukakan beberapa soalan kepada Erick bagi mendalami pengetahuan beliau terhadap sukan yang semakin berkembang pesat itu.- UTUSAN ONLINE




Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini