KUALA LUMPUR 1 Mac – Malaysia akan mendapat manfaat menerusi pengukuhan integrasi ASEAN 2019 yang dipacu oleh perubahan hala tuju global.
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne berkata, ancaman krisis ekonomi makro telah mengheret pertumbuhan global ke arah yang kurang memberangsangkan dan keadaan itu seharusnya menjadi pendorong kepada ASEAN untuk melaksanakan agenda pembaharuannya dengan lebih jitu pada tahun ini.
Jelas beliau, tahun ini menyaksikan pelbagai ketidaktentuan berlanjutan antaranya pasaran menjangkakan pelaksanaan semula polisi rizab persekutuan yang ketat, Brexit, tarif perdagangan

serta harga minyak yang tidak stabil.
“Walau apa pun impak yang dihadapi oleh global, ASEAN kekal sebagai antara rantau yang optimistik dan terbuka di dunia. Tahun ini memberi ruang kepada ASEAN untuk membezakannya dengan yang lain menerusi pembaharuan dan menjadi lebih terbuka.
“Bidang-bidang seperti meningkatkan aliran intra serantau untuk menimbal balik perdagangan global yang perlahan, menarik lebih banyak pelaburan, ekonomi digital dan memacu ASEAN ke arah yang lebih mampan sebagai fokus utama 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Milne, tinjauan HSBC terhadap syarikat global mendapati tarif yang dikenakan membuka peluang kepada pasaran ASEAN termasuk Malaysia dalam bidang elektronik, tekstil dan lain-lain.
Katanya, Malaysia dan Thailand sudah mempunyai rangkaian pengeluaran sedia ada untuk elektronik sementara eksport pakaian serta tekstil Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam meningkat hampir tiga kali ganda daripada AS$24.4 bilion (RM99.38 bilion) pada 2001 kepada AS$71.8 bilion (RM292.44 bilion) pada 2014.
“Pelaburan langsung asing (FDI) ke Asia Tenggara juga semakin meningkat selepas krisis kewangan global, tetapi perhatian perlu diberikan kepada Thailand, Indonesia atau Filipina yang mana rantaian bekalan dijangka meningkat pada masa depan. Antara sebab pelabur datang ke ASEAN termasuk kos pengeluaran, kestabilan institusi dan tarif yang rendah.
“Memperbaiki kesalinghubungan dan ruang pelaburan digital ASEAN untuk menyokong asas pengguna berupaya menjadi faktor penting bagi meningkatkan potensi rantaian bekalan di samping menarik minat pelbagai negara dan syarikat ke rantau ini,” ujarnya.
Sementara itu, Milne berkata, menjadikan ASEAN yang mampan mungkin menjadi antara cabaran yang besar dan pembuat dasar perlu bekerja lebih keras untuk meneruskan integrasi bagi menghadapi situasi global 2019.











