KUALA LUMPUR 4 Mac – Malaysia menamatkan kempen Kejohanan Bola Jaring Empat Negara 2019 dengan cemerlang apabila mengalahkan tuan rumah, Hong Kong 57-44 untuk muncul juara di Pusat Sukan Kowloon Park, semalam.
Selain membawa pulang trofi kejuaraan, kemenangan tersebut juga menebus kekalahan 38-51 yang dialami pasukan negara kepada tuan rumah pada pusingan awal, Sabtu lalu.
Dalam perlawanan itu, Malaysia mendahului 15-11 pada suku pertama perlawanan, sebelum terus mendahului 29-22 dalam suku kedua.
Skuad negara terus menguasai permainan dengan mendahului 40-31 dalam suku ketiga sebelum menamatkan permainan dengan kemenangan 57-44.
Malaysia sebelum ini membelasah Gibraltar 61-27 dalam perlawanan pertama sebelum menumpaskan Thailand 59-30 pada aksi kedua, Jumaat lalu.
Sementara itu, Gibraltar menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menumpaskan Thailand 62-60 dalam penentuan tempat ketiga/keempat. – UTUSAN ONLINE










