KUALA LUMPUR 21 Mac – Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) melihat Malaysia Airlines Bhd. (MAB) sebagai satu pelaburan yang baik untuk mana-mana pihak yang berminat.
Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani berkata, MAB adalah syarikat penerbangan kebanggaan Malaysia dan menawarkan perkhidmatan yang baik.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan keyakinan bahawa adalah logik terdapat banyak pihak yang berminat untuk melabur di dalam MAB mengambil kira sejarah yang panjang dan tahap perkhidmatan hebat.
“Selain itu, MAB juga mempunyai destinasi laluan yang menarik, bagaimanapun saya tidak mengetahui secara lanjut tentang prestasi kewangannya dan keuntungan pada masa hadapan.
“Bagi MIDF, sektor penerbangan adalah antara segmen yang sedang difikirkan dari segi peluang pelaburan,” katanya kepada pemberita sempena Persidangan Hijau MIDF di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan pemberita yang bertanya sama ada MIDF mengetahui pihak-pihak tertentu yang dikatakan ingin membeli MAB.
Dalam perkembangan lain, MIDF masih lagi berbincang tentang cadangan penggabungan dengan Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Bhd.
Beliau berkata, sesi rundingan sedang berjalan dan ia mengambil masa sebelum kedua-dua pihak mencapai kata putus.
“Mereka perlu mengkaji akaun kami begitu juga MIDF meneliti akaun Al Rajhi, saya percaya satu persetujuan yang baik akan dicapai,” katanya.
Pada awal Januari lalu, MIDF telah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meneruskan perbincangan berhubung cadangan penggabungan dengan Al Rajhi.











