Makan percuma asnaf dalam bandar - Utusan Malaysia

Makan percuma asnaf dalam bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Lebih 80 asnaf bandar tampil memeriahkan jamuan makan percuma anjuran Kelab Volenteer I Care (VIC) yang diadakan di Kedai Makan Hak Teguh Catering, di sini hari ini.

Pengerusi VIC, Muhammad Afiq Aiman Sukry berkata, program jamuan asnaf itu adalah kali kedua diadakan dengan melibatkan penduduk miskin bandar dan pinggir bandar.

Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan penghulu dan pengurusan sekolah supaya asnaf yang terlibat tampil menikmati makanan yang ditaja selain menerima agihan sumbangan yang disediakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di antara asnaf yang terlibat ialah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Peir Cheh, SK Islah, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Maher dan pelajar Maahad Pengajian Islam sekitar bandar ini.

” Kehadiran mereka diiringi ibu bapa masing-masing dan kami menyediakan agihan seluar sekolah, telekung, kain pelikat, tudung, baju terpakai yang masih baharu serta menyediakan khidmat gunting rambut percuma,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Program Makan Percuma asnaf
Muhammad Afiq Aiman (kanan) melayan asnaf pada Program Makan Percuma di Kota Bharu, Kelantan, hari ini

 

Muhammad Afiq berkata, menjadi satu kepuasan pihak penganjur dan penaja melihat sendiri golongan yang betul-betul memerlukan bantuan menikmati juadah enak yang jarang mereka nikmati.

Menurutnya, pada hari ini juga, turut berlangsung ziarah asnaf ke Pasir Mas dengan melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga miskin serta yatim piatu.

“Terima kasih kepada semua penyumbang yang mempercayai VIC dalam menjayakan program amal sebegini. Kami menjemput orang ramai yang bermurah hati untuk turut serta turun dan melihat selain menghulurkan sumbangan untuk kami menjayakan program yang pastinya menceriakan golongan asnaf,” katanya.

Sumbangan ikhlas boleh disalurkan ke akaun kelab VIC menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0300241100004797 atau menghubungi 019-9344 077 untuk sumbangan barangan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini