SEBERANG PERAI – Seorang kerani wanita berputih mata apabila kerugian sebanyak RM13,900 selepas menyedari dia menjadi mangsa penipuan sindiket pinjaman wang yang disyaki tidak wujud di sini semalam.
Mangsa berusia 42 tahun itu dikatakan mahu membuat pinjaman wang sebanyak RM15,000 selepas menerima tawaran daripada iklan menerusi aplikasi WhatsApp pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa telah menghubungi nombor telefon yang diberikan dan berhubung dengan seorang lelaki yang mendakwa dirinya agen syarikat BMS Loan yang menawarkan pinjaman peribadi.
“Hasil perbincangan itu, mangsa telah bersetuju membuat pinjaman wang RM15,000, namun dia diminta membuat pelbagai bayaran wang proses terlebih dahulu.
“Mangsa telah memindahkan wang melalui sepuluh transaksi melibatkan nilai RM13,900 ke dalam satu akaun bank selepas diminta suspek,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.
Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas sindiket terbabit berterusan memintanya memindahkan wang ke dalam akaun tersebut sebelum membuat laporan polis semalam.
Menurutnya, kes itu disisat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











