Maccaferri Malaysia lancar penyalut polimer mesra alam - Utusan Malaysia

Maccaferri Malaysia lancar penyalut polimer mesra alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Syarikat penyedia penyelesaian teknologi kejuruteraan, Maccaferri (Malaysia) Sdn. Bhd. (Maccaferri Malaysia) melancarkan PoliMac, iaitu bahan polimer penyalut pada logam yang bersifat lebih tahan lama dan mesra alam sekitar untuk pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maccaferri Rantau Asia Tenggara, Ugo Castellotti berkata, bahan itu merupakan hasil inovasi terbaharu Maccaferri dan ia mula-mula diper­kenalkan pada 2018.

Maccaferri merupakan syarikat kejuruteraan awam yang berpangkalan di Itali dan memiliki sejarah selama 140 tahun serta mempunyai kehadiran di 100 buah negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas Ugo, penggunaan PoliMac telah mendapat sambutan luar jangkaan memandangkan sifatnya yang lebih kukuh, tahan kepada pencemaran bahan kimia dan sinar ultraungu (UV) serta tahan lelas berbanding penggunaan bahan pesaing tradisionalnya iaitu Polyvinyl Chloride (PVC).

“PoliMac kini telah tersedia di pasaran tempatan dan kami memiliki fasiliti pembuatan di Senawang, Negeri Sembilan yang memiliki kapasiti mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan dan rantau Asia Tenggara.

“Penggunaan PoliMac boleh diaplikasikan pada semua kerja-kerja kejuruteraan geoteknikal se­perti dalam projek pengukuhan cerun, perlindungan tebing su­ngai dan tembok penahan.

“Kami telah memiliki beberapa projek yang menggunakan PoliMac di negara ini dan kami melihat permintaan yang sema­kin meningkat untuk teknologi ini di sini,” katanya kepada Ko­s­mo! selepas majlis pelancaran di sini semalam.

Antara projek yang menggunakan bahan PoliMac termasuk pembinaan jeti di Pengerang, Johor selain pembinaan tembok penahan di Austin Perdana, Johor Bahru.

Menurut Ugo, penggunaan PoliMac juga jauh lebih efektif kos berbanding PVC.

“Harganya tidak jauh berbeza berbanding PVC namun sekira­nya diambil kira kos jangka masa panjang, ia jauh lebih murah.

“Ini kerana jangka hayat PoliMac lebih lama dan kurang risiko kegagalan berbanding PVC, jadi penyelenggaraan menjadi lebih mudah, selamat dan tidak memerlukan penggantian yang kerap,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Teknikal Maccaferri Malaysia, Ir. Bryan Lee berkata, PoliMac juga bersifat mesra alam kerana proses pembuatannya tidak membebaskan bahan yang bersifat toksik kepada alam sekitar, berbanding PVC.

“Proses pembuatan PVC secara umumnya akan membebaskan phthalate, klorin dan sisa logam berat sedangkan penghasilan PoliMac tidak mengeluarkan ketiga-tiga bahan ini.

“Kami berhasrat untuk me­nukar sepenuhnya bahan PVC kepada PoliMac dalam projek-projek kami seawal tahun ini, kecuali projek yang telah pun berjalan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini