KUALA LUMPUR 17 Mac – Penjaring terbanyak Kejohanan AFC Bawah 16 tahun (B-16) 2018, Luqman Hakim Shamsudin terpilih sebagai Kesebelasan Terbaik Piala Sanix 2019 hari ini, sekali gus muncul sebagai pemain negara pertama menerima anugerah tersebut.
Menurut Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn. Bhd., Hiroshi Hamada, Luqman terpilih melalui undian yang di lakukan oleh ketua-ketua jurulatih bagi setiap pasukan yang bertanding di sini.
Pemilihan Luqman berdasarkan kelajuan yang di miliki dan kemahiran dalam mengendalikan bola pada setiap perlawanan dalam kejohanan tahunan yang di anjurkan di Global Arena, Fukuoka, Jepun itu.
“Mereka memaklumkan kepada saya bahawa setiap ketua jurulatih bagi kelab yang bertanding akan mencadangkan satu nama sebagai penyerang, pemain tengah, pertahanan dan penjaga gol terbaik.
“Mereka memaklumkan kriteria pemilihan Luqman adalah berdasarkan kepantasannya dalam permainan selain memiliki kawalan bola yang baik.
“Sebagai penaja kepada skuad Malaysia dalam pertandingan ini, saya merasa gembira dengan pemilihan Luqman. Saya juga amat gembira dengan prestasi Malaysia kali ini yang meningkat sedikit dari tahun lepas.
“Saingan pada tahun ini juga amat mencabar dengan penglibatan banyak pemain kebangsaan Jepun serta kelab yang terbaik seperti Kashima Antlers dan Aomori Yamada,” ujar Hamada.
Sebagai rekod, Malaysia menamatkan saingan Piala Sanix di tangga ke-12, sedikit peningkatan berbanding tempat ke-13 edisi lalu.- UTUSAN ONLINE











