Lima cedera kemalangan babit dua kenderaan - Utusan Malaysia

Lima cedera kemalangan babit dua kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI – Lima cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di susur keluar Tol Pajam di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dekat sini kira-kira pukul 7.45 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Honda Accord melanggar sebuah kereta jenis Nissan Almera dari arah belakang. 

“Pelanggaran itu menyebabkan pemandu Nissan Almera, Zul Bahari Abdullah, 32, patah tangan kanan selepas tercampak keluar dari kenderaannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isterinya, Intan Mardiana Idrus, 35, dan salah seorang anak mereka, D’Zulfaqqar, 9, masing-masing patah sebelah tangan kanan. Dua lagi anak mereka, D’Nur Amina, 7, dan D’Nur Iffat, 2, mengalami luka,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohd. Nor Marzukee berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Zul Bahari berhenti di garisan zebra antara susur ke Kajang dan Mantin selepas keluar dari Tol Pajam menghala ke Mantin. 

Menurut beliau, sebuah kereta jenis Honda Accord dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun kemudian terlanggar belakang kereta Nissan Almera itu yang berada di tengah pembahagi jalan susur dari arah belakang. 

Kata beliau, pemandu kereta Honda Accord itu mengalami kecederaan ringan dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban untuk menerima rawatan. 

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat dibawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Mohd. Hidayat Basly berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 8 malam membantu melepaskan seorang kanak-kanak yang tersepit dalam kemalangan itu.

“Seramai tujuh pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Mantin dikerahkan memberi bantuan sejurus maklumat diterima pada pukul 7.46 malam,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini