KUALA LUMPUR – Selangor kembali bernyawa selepas mencatatkan kemenangan sulung dengan keputusan 3-2 ke atas Kuala Lumpur bagi aksi derbi Lembah Klang di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Kemenangan tersebut mampu memberikan semula harapan buat skuad Gergasi Merah apabila sebelum ini belum pernah merasai nikmat kemenangan di bawah sentuhan B. Sathianathan.
Pada aksi tersebut, Kuala Lumpur yang tampak garang pada babak pertama dengan dua jaringan menerusi sentuhan Muhammad Syafwan Syahlan dan Indra Putra Mahayuddin tetap belum cukup menggugat pasukan pelawat ketika bertandang ke tempat lawan.
Memasuki babak kedua, Selangor melakukan kebangkitan dalam tempoh 12 minit dengan tiga gol masing-masing menerusi jaringan Sandro Da Silva, Mohd Syazwan Zainon dan Amri Yahyah yang sudah cukup untuk melengkapkan kemenangan pertama Selangor dalam aksi keenam musim ini.
Keputusan yang tidak memihak kepada pasukan tuan rumah sekali gus memberikan tekanan buat skuad bimbingan Yusri Che Lah yang masih bergelut dalam saingan Liga Super musim ini selepas tewas dalam semua perlawanan. – K! ONLINE











