KUANTAN – Seorang peniaga atas talian berusia 25 tahun di Maran dekat sini kerugian RM9,680 selepas diperdaya lelaki asing melalui urusan jual beli duit lama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Asisten Komisioner Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berkenalan dengan suspek melalui laman sosial Instagram pada Selasa lalu.
“Lelaki berasal dari Jengka, Maran itu kemudian meneruskan urusan dengan suspek yang mengaku sebagai warganegara Amerika Syarikat melalui aplikasi Whatsapp.
“Suspek meminta pengadu membuat bayaran dengan memasukkan wang ke dalam akaun sebuah bank tempatan untuk pertukaran wang asing melalui enam transaksi,” kata beliau.
Bagaimanapun, mangsa gagal menghubungi suspek sejurus memasukkan amaun tersebut ke dalam akaun bank berkenaan untuk membeli duit syiling lama.
Mohd. Wazir menambah, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran semalam apabila menyedari telah ditipu suspek.
Tambah beliau lagi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- K! ONLINE











