Lelaki menyamar polis samun warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki menyamar polis samun warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 5 Mac – Seorang lelaki yang terlibat dalam 10 kes samun warga asing menggunakan pistol mainan serta menyamar sebagai anggota polis di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) di sini sejak awal tahun ini ditahan polis, Ahad lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komissioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, bagaimanapun seorang lagi rakan suspek yang turut bersubahat melakukan jenayah tersebut kini sedang diburu selepas melarikan diri ketika dikejar anggota polis peronda.

“Anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan Mak Mandin kira-kira pukul 10.30 malam Ahad lalu ternampak dua lelaki menaiki sebuah motosikal sedang menyamun dua lelaki warga asing.

“Selepas menyedari terdapat anggota polis di kawasan berkenaan, dua suspek tersebut kemudiannya bertindak melarikan diri dengan memecut laju motosikal mereka,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Norzainy, anggota polis telah mengejar mereka hingga ke kawasan jalan sawah di Pekan Darat dan pembonceng motosikal itu telah terjun dari motosikal sebelum melarikan diri ke kawasan gelap.

“Suspek berusia 25 tahun yang menunggang motosikal ini terus memecut laju ke jalan raya.

“Dia kemudiannya terlibat dengan kemalangan dengan sebuah motosikal lain di persimpangan lampu isyarat lalu terjatuh dan berjaya ditahan polis,” katanya.

Tambah beliau, polis merampas sebilah pisau, satu pucuk pistol plastik warna hitam berserta kelongsong peluru dan tiga utas jam tangan berjenama daripada suspek.

“Suspek direman tujuh hari dan kes berkenaan di siasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan serta 36 Akta Senjata 1960 serta usaha mengesan rakan suspek tersebut giat dijalankan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di Jalan Pongsu Seribu, di sini kerana terlibat dalam kegiatan menawarkan wang secara haram atau ‘along’.

“Polis turut merampas senarai peminjam, buku catatan peminjam, penyata akaun bank peminjam, banting dan pelbagai barangan lain yang ditemukan di dalam kereta milik suspek,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini