TAPAH – Seorang lelaki maut manakala 14 lagi cedera apabila dua kenderaan pelbagai guna (MPV) bertembung di Batu 4, Jalan Tapah-Cameron Highlands di sini tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Mohd. Ayup Ab. Rahman, 55, yang merupakan pemandu kenderaan jenis Perodua Alza itu cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tapah.
Isteri dan enam anak mangsa berusia antara sembilan hingga 23 tahun pula mengalami kecederaan termasuk tiga daripada mereka patah kaki kanan, tangan kiri dan tulang rusuk manakala ibu mertua mangsa yang berusia 75 tahun pula cedera parah di bahagian kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki sembilan beranak itu dalam perjalanan menuju ke Cameron Highlands.
“Tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu Mohd. Ayup dilanggar sebuah kenderaan jenis Honda Stream yang dinaiki tujuh sekeluarga dari arah bertentangan.
“Mohd. Ayup yang cedera parah akibat kemalangan itu dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan kecemasan namun dia disahkan meninggal di hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Wan Azharuddin, kemalangan tersebut turut mengakibatkan pemandu Honda Stream berusia 57 tahun itu patah peha kiri manakala lima ahli keluarganya turut cedera.
“Isteri pemandu Honda Stream yang berada di bahagian penumpang hadapan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan. Semua mereka yang cedera dirawat di Hospital Tapah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











