BELURAN 18 Mac – Beberapa ‘laluan tikus’ atau laluan tidak sah dikesan sejak Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh diwujudkan di sini.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali berkata Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA Beluran) telah menggerakkan pegawai dan anggota untuk mengesan laluan tikus di kawasan itu khususnya di ladang kelapa sawit.
“Saya ingin mengingatkan masyarakat bahawa tindakan akan diambil jika terdapat pihak yang membuka laluan tikus, termasuk yang menembusi ladang kelapa sawit.
“Saya juga menggesa pihak pengusaha ladang (kelapa sawit) supaya tidak membenarkan laluan tikus dibuka di kawasan ladang,” katanya selepas melancarkan Program Kepolisan Komuniti di RCP Sapi Nangoh di sini hari ini.
Menurut Hazani, RCP Sapi Nangoh merupakan RCP kedua diwujudkan selepas di Kalabakan yang menghubungkan pantai timur Sabah melalui Tawau ke pedalaman Sabah.
Jelasnya, apabila RCP Kalabakan diwujudkan, semakin banyak laluan tikus dibuka.
“Esscom juga akan menempatkan kenderaan pelbagai bentuk muka bumi (ATV) di RCP Kalabakan dan Sapi Nangoh bagi memperhebatkan operasi mengesan laluan tikus.
“Kita juga akan mencadangkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menempatkan khidmat anjing pengesan di RCP Sapi Nangoh seperti di RCP Kalabakan, yang menggunakan khidmat itu sejak bulan lepas, bagi mengesan penyeludupan barang terlarang seperti bahan letupan dan dadah,” katanya.
Ujarnya, seorang pegawai dan 32 anggota daripada Batalion 20 PGA ditempatkan di RCP Sapi Nangoh, yang beroperasi selama 24 jam sejak 6 Mac lepas.
Sejak pembukaan RCP Sapi Nangoh itu, Hazani berkata polis telah memeriksa lapan bas dan menahan 297 orang tanpa dokumen pengenalan diri.- BERNAMA











