KUALA LUMPUR 16 Mac – Polis telah mengambil keterangan pemandu treler membawa mesin cerucuk yang tergelincir di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) arah Kinrara menghala ke Puchong, Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, satu kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Peraturan 19 LN 166/59 berhubung kejadian.
“Pemandu treler tersebut dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismadi memberitahu, kerja mengalih mesin itu mengambil masa dua jam dengan bantuan dua buah kren berkapasiti 200 dan 300 tan.
“Kerja pengalihan berjaya dilakukan dengan kerjasama semua pihak terutama pihak pengurusan LDP pada pukul 9.45 malam semalam dan perkhidmatan lalu lintas dibuka seperti sediakala,” ujarnya.
Malam tadi, pengguna Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) arah Kinrara menghala ke Puchong, dekat sini terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas sepanjang 10 kilometer selepas muatan mesin cerucuk tergelincir dari treler sekali gus menghalang laluan di lokasi tersebut.
Kejadian yang berlaku pada pukul 1 petang itu menyebabkan kesesakan teruk selama 10 jam. – UTUSAN ONLINE











