KUALA LUMPUR 4 Mac – Kerajaan komited untuk mengembalikan semula kuasa kepada pelajar sepenuhnya termasuk dalam melaksanakan pilihan raya kampus.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, ini kerana, tindakan itu dilihat mampu melahirkan kebebasan pendidikan selain usaha melaksanakan proses reformasi melibatkan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, langkah tersebut juga merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dengan undang-undang yang lebih progresif serta dinamik pada masa akan datang.
“Ini merupakan sejarah buat Universiti Malaysia (UM) kerana universiti ini amat signifikan dengan pilihan raya dan selepas hampir lima dekad, kuasa pelajar dikembalikan menerusi pelaksaan proses pilihan raya kampus yang dilakukan oleh pelajar.
“Ini merupakan sebahagian daripada janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan IPT bersifat lebih terbuka,” katanya dalam majlis lawatan sempena pilihan raya kampus UM di sini hari ini.
Yang turut hadir Naib Canselor UM, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim dan Timbalan Naib Canselor UM, Prof. Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Raman. – UTUSAN ONLINE










