PASIR GUDANG 14 Mac – Kualiti udara di daerah ini mencatatkan bacaan normal di kebanyakan kawasan namun boleh berubah-ubah mengikut cuaca termasuk mengambil kira faktor hujan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, setakat ini bacaan kualiti udara adalah pada tahap normal.
“Insya-Allah, nanti akan ada bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kimia Johor untuk membantu pihak kita memantau kualiti udara di Pasir Gudang.
“Dengan itu, kita boleh memberitahu orang awam mengenai keadaan semasa (kualiti udara),” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Negeri di Menara Aqabah di sini sebentar tadi.
Beliau menjawab pertanyaan sama ada tahap kualiti udara di Pasir Gudang masih lagi baik selepas dicemar pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim pada Khamis lalu.
Kejadian yang bermula 7 Mac itu menyebabkan seramai 947 orang awam dirawat di hospital sementara semua sekolah di daerah ini ditutup serta-merta bagi mengelakkan lebih ramai lagi yang akan terjejas. – UTUSAN ONLINE











