Kualiti aset sistem perbankan tempatan kekal kukuh - BNM - Utusan Malaysia

Kualiti aset sistem perbankan tempatan kekal kukuh – BNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Mac – Kualiti aset sistem perbankan tempatan kekal kukuh pada Februari 2019 berikutan pinjaman terjejas kasar keseluruhan meningkat sedikit disebabkan beberapa peminjam korporat yang bermasalah.

Bagaimanapun, nisbah pinjaman terjejas bank-bank stabil pada 0.9 peratus, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan Sorotan Bulanan-Februari 2019.

“Bank-bank terus mengekalkan penampan yang mencukupi terhadap kemungkinan kerugian kredit dengan nisbah jumlah peruntukan kepada jumlah pinjaman mampan pada 1.4 peratus,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, inflasi keseluruhan mencatatkan angka negatif yang lebih kecil iaitu -0.4 peratus pada Februari berbanding -0.7 peratus pada Januari.

Inflasi pengangkutan kekal negatif, namun sumbangannya kepada inflasi mengecil berikutan kenaikan harga minyak global pada Februari.

BNM berkata, inflasi makanan kekal stabil pada 1.0 peratus, manakala inflasi yang lebih tinggi bagi makanan di luar rumah telah diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi beberapa jenis makanan segar.

“Tidak termasuk kesan perubahan dasar cukai penggunaan, inflasi teras meningkat kepada 1.6 peratus pada Februari 2019 berbanding 1.5 peratus pada Januari,” katanya.

Indeks Pengeluaran Industri keseluruhan yang terkini mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih rendah sedikit pada 3.2 peratus dari tahun ke tahun pada Januari 2019 berbanding 3.4 peratus pada Disember 2018.

“Pertumbuhan sektor perkilangan menurun sedikit kepada 4.2 peratus pada Januari 2019 daripada 4.4 peratus pada bulan sebelumnya, disebabkan pengeluaran elektronik yang lebih rendah, sejajar dengan sebahagian negara rantaian nilai global elektrik dan elektronik (E&E) lain.

“Yang ketara, pengeluaran berkaitan sumber mencatatkan pemulihan yang kukuh disebabkan hasil pengeluaran produk yang berasaskan minyak sawit meningkat,” kata BNM.

Pembiayaan bersih mencatatkan pertumbuhan tahunan yang lebih rendah pada 5.8 peratus pada Februari berbanding 5.9 peratus pada Januari, manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat kepada 7.9 peratus bulan ke bulan berbanding 7.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Pertumbuhan pinjaman terkumpul menjadi sederhana kepada 5.0 peratus pada bulan tersebut, manakala pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menjadi sederhana kepada 4.3 peratus bulan ke bulan berbanding 4.8 peratus sebelum ini terutamanya dalam sektor perlombongan dan pengkuarian, harta tanah, dan pertanian utama.

“Pinjaman isi rumah terkumpul meningkat pada 5.2 peratus berbanding 5.5 peratus pada Januari. Peningkatan sederhana ini berlaku dalam keadaan segmen pinjaman mengikut tujuan yang menurun sedikit,” katanya.

BNM juga berkata pasaran kewangan domestik bertambah baik dalam keadaan sentimen pelabur yang positif berikutan ringgit menambah nilai sebanyak 0.5 peratus berbanding dolar AS pada Februari disokong oleh aliran masuk portfolio bukan pemastautin ke dalam pasaran bon.

Penambahan itu sejajar dengan trend serantau dan didorong oleh kesanggupan pelabur global mengambil risiko yang lebih tinggi, kata BNM.

“Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun menyusut 17.4 mata asas didorong oleh aliran masuk bukan pemastautin sebanyak RM5.7 bilion ke dalam pasaran bon kerajaan pada bulan itu.

“Sementara itu, FBM KLCI meningkat 1.4 peratus disokong oleh keadaan sentimen dalam negeri yang bertambah baik dalam sektor pembinaan dan lanjutan perbincangan perdagangan antara AS dan China,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini