JOHOR BAHRU 5 Mac – Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) menawarkan diskaun sehingga 40 peratus kepada lepasan KPYPJ untuk menjelaskan yuran pengajian mereka yang masih belum dilunaskan.
Tawaran tersebut diberikan selama dua minggu menerusi Kaunter informasi KPYPJ Info Desk di Angsana Mall Johor Bahru di sini yang akan dilancarkan pada 9 Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Nasri Md. Ali berkata, itu akan memudahkan bekas-bekas penuntut KPYPJ tampil menjelaskan yuran pengajian mereka yang masih belum dilunaskan.
“Diskaun 40 peratus ini adalah sebagai bonus kepada diskaun 20 peratus yang diberikan sebelum ini bagi menggalakkan lebih ramai lepasan KPYPJ tampil untuk menjelaskan bayaran yuran pengajian yang tertunggak itu.
“Ayuh jangan lepaskan peluang menikmati kadar diskaun istimewa ini dengan berkunjung ke kaunter informasi sepanjang minggu promosi kaunter ini berlangsung,” katanya dalam satu kenyatan di sini sebentar tadi.
Bersempena majlis pelancaran kaunter informasi pelbagai acara menarik diadakan antaranya pameran motosikal monster berinjin kereta Nissan Skyline RB20 ciptaan bekas pelajar Sijil Juruteknik Motosikal, KKJ Muar, Amirul Azwan Abdul Rasid bersama-sama bapanya, Abdul Rasid Ismail akan dipamerkan buat pertama kalinya di sini.
Selain itu, turut dipamerkan dua buah motosikal ciptaan Amirul yang pernah mendapat beberapa anugerah pada Pameran Art of Speed Malaysia sebelum ini. – UTUSAN ONLINE










