PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan kini dalam perancangan untuk memperkenalkan program sekolah tanpa tunai (cashless school) di sekolah-sekolah di negara ini.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, inisiatif tersebut akan digerakkan melalui usahasama antara kementerian dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Menurutnya, untuk itu, projek rintis program tersebut akan dijalankan terhadap sekolah-sekolah terpilih.
“Pihak kementerian mendapat persepakatan dasar yang mana kita akan adakan projek rintis di sekolah yang terpilih.
“Sekarang ini memang ada sekolah yang ke arahnya seperti di Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan. Jadi, kini kita hendak kembangkan di sekolah-sekolah lain juga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) 2019 di sini Hotel Zenith di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Maszlee dalam ucapannya berkata, menerusi sekolah tanpa tunai, pelajar juga dapat kurang berisiko kehilangan atau kecurian wang.
“Mungkin pada suatu masa nanti, teknologi membayar hanya menerusi pengesanan Kod Maklum Balas Pantas (Kod QR) sahaja.
“Oleh itu, BSN perlu bersedia ke arah itu manakala kementerian juga perlu meneliti langkah berkenaan,” katanya. – K! ONLINE











