PUTRAJAYA 28 Mac – Pelan tindakan berhubung kebolehpasaran graduan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan semua program di institusi pengajian tinggi (IPT) akan dibentangkan dalam masa terdekat.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pihaknya kini sedang dalam fasa terakhir menyiapkan kajian dan pelan tindakan kebolehpasaran graduan dalam program berkenaan.
“Pihak kementerian turut mengambil maklum saranan Bank Negara Malaysia untuk mengurangkan ketidakpadanan yang jelas antara permintaan dan bekalan tenaga kerja selain mengambil serius tentang isu kebolehpasaran graduan.
“Berkaitan isu gaji permulaan siswazah yang didakwa semakin menurun, kementerian akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dan agensi untuk melihat perkara itu secara lebih mendalam agar dapat diselesaikan segera,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018 yang dikeluarkan semalam.
Menurut laporan berkenaan, jumlah tenaga kerja siswazah negara meningkat daripada 23.5 peratus pada 2010 kepada 28.3 peratus pada 2017.
Ini termasuk antara tahun 2010 hingga 2017, bilangan pemegang diploma dan ijazah dalam tenaga kerja secara purata meningkat sebanyak 173,457 orang setahun.
Laporan itu juga menekankan bahawa jumlah ini jauh lebih tinggi daripada pertambahan guna tenaga bersih dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi, iaitu 98,514 orang setahun.-UTUSAN ONLINE











