KPDNHEP rampas 29,000 pasang kasut, selipar tiruan bernilai RM1.1 juta - Utusan Malaysia

KPDNHEP rampas 29,000 pasang kasut, selipar tiruan bernilai RM1.1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas lebih 29,000 kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama bernilai kira-kira RM1.1 juta dalam satu operasi kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin.

Timbalan Pengarah Cawangan Operasi Khas KPDNHEP, Rosli Ahmad berkata, kasut dan selipar berkenaan dirampas dari empat buah rumah kedai yang dijadikan sebagai stor penyimpanan barang tiruan itu di sebuah lokasi dekat sini.

Menurut beliau, seramai 12 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan terlibat dalam serbuan yang turut disertai wakil pemilik cap dagang itu.

“Siasatan awal mendapati premis itu antara pembekal utama kasut tiruan di negeri ini dan dimiliki oleh seorang warga tempatan. Pemilik premis telah dikenal pasti dan sedang dikesan bagi membantu siasatan lanjut.

“Serbuan itu dilakukan hasil risikan kami selama dua minggu ke atas stor berkenaan. Terdapat seorang pekerja lelaki berusia 18 tahun semasa serbuan dilakukan dan kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Zubir Hamsa.

Kasut dan selipar tiruan terbabit antaranya menggunakan jenama Adidas, Puma, Nike dan Converse. 

Rosli berkata, rampasan itu adalah yang terbesar di Negeri Sembilan setakat tahun ini dan barangan tiruan tersebut dipercayai untuk dijual pada harga antara RM50 hingga RM70 sepasang di sekitar Negeri Sembilan serta Lembah Klang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN