KUALA KANGSAR – Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Koperal ditemui maut selepas dipercayai lemas di kawasan sungai berdekatan Kampung Baru Sauk di sini semalam.
Mayat mangsa, Nor Azmi Md. Jilani, 33, ditemui orang awam dalam keadaan terlentang namun tiada sebarang kecederaan pada badannya.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 2.15 petang.
“Siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai anggota tentera itu sepatutnya melaporkan diri di Kompeni A Batalion Keempat Rejimen Sempadan di Kem Gerik hari ini.
“Mangsa keluar rumah pada pukul 10 pagi pada hari kejadian menaiki motosikal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Razali, ketika ditemui, barang-barang dan motosikal mangsa juga ada di lokasi kejadian.
“Abang mangsa turut memaklumkan mangsa tidak mempunyai musuh.
“Mayat mangsa telah membengkak dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam dan dia dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk proses bedah siasat,” katanya.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE











