BANGKOK 1 Mac – Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Thailand (AOT) akan membantu meningkatkan kekerapan penerbangan ke Eropah dalam beberapa hari akan datang bagi mengurangkan jumlah penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
Berikutan krisis India-Pakistan yang mengakibatkan masalah kepada laluan penerbangan, sejumlah 36 penerbangan termasuk 20 penerbangan untuk berlepas dibatalkan dan memberi kesan kepada 4,000 penumpang di lapangan terbang itu, semalam.
Awal hari ini, syarikat penerbangan memulakan penerbangan dengan mengelak daripada memasuki ruang udara Pakistan dan terbang ke Eropah melalui China dan selatan Rusia.
Pengarah Kawalan Perkhidmatan Darat AOT Thera Buasri berkata kira-kira 3,000 penumpang masih terkandas di lapangan terbang di sini berikutan pembatalan penerbangan semalam.
“Pengubahan laluan penerbangan tidak akan menjejaskan masa penerbangan. Sebenarnya, ia mengurangkannya sebanyak 20 minit. Bagaimanapun, syarikat penerbangan perlu mendapat kebenaran daripada negara berkenaan dan ia hanyalah untuk waktu tertentu sahaja,” katanya. – BERNAMA











