KUALA LUMPUR – Komuniti doula di negara ini disaran menyusun gerak kerja menerusi sebuah organisasi yang diiktiraf untuk membolehkan mereka yang layak menjadi peneman ibu ketika kelahiran, kata Profesor Ginekologi dan Pendidikan Perubatan (Pengajaran Klinikal) Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Harlina Halizah Siraj@Ramli.
Katanya, organisasi tersebut seharusnya bertindak sebagai badan pemantau selain mewujudkan kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sebagaimana amalan di beberapa negara maju seperti United Kingdom, Australia…mereka bersatu di bawah satu organisasi yang dipantau dan dibantu oleh doktor serta peranan mereka (doula) tidak mengambil alih tugas individu yang lebih profesional.
“Namun di Malaysia, perkara yang paling merisaukan apabila tiada satu badan khas yang membuat pemantauan aktiviti doula dan sesiapa sahaja boleh mengaku mereka adalah doula dengan hanya menjalani latihan dalam sehari…ini mewujudkan risiko yang boleh membahayakan nyawa ibu dan bayi yang bakal dilahirkan,” katanya kepada pemberita.
Beliau menjelaskan, walaupun kes membabitkan doula tidak banyak dilaporkan tetapi kewujudan mereka sudah mula mendapat perhatian susulan beberapa kes kematian bayi yang dilahirkan dipercayai menggunakan khidmat golongan itu di negara ini. – Bernama











